
ALOR GAJAH, Oktober 2025 – Dataran Keris Alor Gajah bergema dengan semangat budaya, irama gendang dan warna-warni tradisi apabila program Jejak Seni Budaya Malaysia Madani 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang. Program yang berlangsung dari 15 hingga 19 Oktober 2025 ini dirasmikan oleh Ahli Parlimen Alor Gajah merangkap Timbalan Menteri Pertahanan, YB Haji Adly Zahari, dan berjaya menarik lebih 5,000 pengunjung sepanjang lima hari penganjuran.


Edisi kedua program ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan edisi pertamanya yang dianjurkan di Kuala Lumpur tahun lalu. Tahun ini, Persatuan Pengurusan Acara Budaya dan Warisan Malaysia (PABWAM) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta memilih negeri Melaka sebagai destinasi penganjuran, bertepatan dengan statusnya sebagai negeri bersejarah dan mercu tanda pelancongan budaya negara.


Program ini menampilkan pelbagai pengisian yang mempamerkan keindahan seni, budaya dan warisan Malaysia. Antara tarikan utama ialah “Jom Ngap Festival”, festival makanan yang mengetengahkan pelbagai cita rasa tempatan dari seluruh Malaysia serta memberi peluang kepada pengusaha makanan dan usahawan belia tempatan memperkenalkan produk mereka kepada pengunjung.


Majlis perasmian diserikan dengan persembahan istimewa melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk tarian kebudayaan Melayu oleh kanak-kanak dari Sekolah Kebangsaan Tangga Batu, tarian klasik India, tarian
Portugis tradisional, serta persembahan nyanyian daripada alumni ASWARA. Kesemua persembahan ini bukan sahaja memukau penonton, tetapi turut menjadi simbol keharmonian serta kepelbagaian budaya yang menjadi
tunjang Malaysia Madani. Menurut Timbalan Presiden PABWAM, Encik Nor Zaily Hasjadi, kejayaan
penganjuran ini membuktikan bahawa seni dan budaya mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi kreatif dan pelancongan domestik.


“Kami amat berbesar hati melihat sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat, pelancong dan komuniti seni. Lebih 5,000 pengunjung hadir sepanjang lima hari, sekali gus membuktikan minat tinggi rakyat terhadap
acara berteraskan budaya. Jejak Seni Budaya Malaysia Madani bukan sekadar festival seni, tetapi satu platform penyatuan dan penghargaan terhadap identiti bangsa,” katanya.


Beliau turut mengumumkan bahawa edisi seterusnya akan diteruskan di negeri Perak pada tahun hadapan, dengan skala yang lebih besar dan pengisian yang lebih pelbagai sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Edisi di Perak nanti akan membawa pembaharuan dari segi konsep dan pengisian bagi memperluas jaringan seni budaya di seluruh negara. Kami yakin ia akan menjadi satu lagi mercu tanda dalam kalendar pelancongan
budaya Malaysia,” tambah beliau. Program Jejak Seni Budaya Malaysia Madani kini diiktiraf sebagai antara
inisiatif budaya paling berimpak tinggi di peringkat nasional yang menggabungkan elemen pelancongan, pendidikan, warisan dan ekonomi kreatif. Ia terus menjadi wadah penyatuan masyarakat berbilang bangsa
serta simbol komitmen negara dalam melestarikan warisan seni Malaysia untuk generasi akan datang.


Dikeluarkan oleh:
Persatuan Pengurusan Acara Budaya dan Warisan Malaysia (PABWAM)
Nor Zaily Hasjadi
Timbalan Presiden



