
1. Mulai 1 April 2026, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memperluaskan laluan percuma bas GOKL11 (MRT Maluri – Bandar Tun Razak) dengan menyediakan hentian baharu di dalam kawasan Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC). Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan akses pengangkutan awam kepada pesakit, waris serta warga kota yang mendapatkan rawatan di hospital tersebut terutamanya golongan warga emas yang dijangka mencecah 11.7% menjelang tahun 2030.

2. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bagi merakyatkan fasiliti kerajaan supaya kemudahan kesihatan bukan sahaja tersedia, tetapi benar-benar boleh diakses oleh semua khususnya warga emas dan pesakit di Kuala Lumpur yang berdepan cabaran mobiliti.
3. HRC merupakan satu-satunya hospital rehabilitasi khusus di Kuala Lumpur yang menyediakan perkhidmatan pemulihan komprehensif kepada pesakit pasca kecederaan, strok serta penyakit kronik. Peranan hospital ini amat penting dalam membantu pesakit memulihkan fungsi fizikal, meningkatkan mobiliti dan seterusnya memperbaiki kualiti hidup mereka.

4. HRC turut akan melaksanakan Program Kesejahteraan Geriatrik dan Komuniti Warga Emas Zon Cheras di kawasan padang hospital. Program ini menggabungkan elemen rehabilitasi, aktiviti fizikal dan penglibatan komuniti bagi menyokong pemulihan pesakit dan warga Kuala Lumpur. Antara inisiatif utama
• Kesedaran berkaitan pencegahan dan penjagaan kesihatan.
• Kemudahan terapi luar untuk latihan mobiliti, keseimbangan dan stamina.
• Padang sebagai ruang komuniti aktif untuk riadah dan kesihatan.

5. Sebagai sebuah bandar raya dengan kepadatan penduduk yang tinggi, pendekatan ini penting bagi memastikan setiap aset kerajaan dimanfaatkan sepenuhnya untuk warga Kuala Lumpur.



