Melaka, 10 Oktober 2025 — Program Jejak Seni Budaya Malaysia Madani 2025 bakal membuka tirainya pada 15 hingga 19 Oktober 2025 di Dataran Keris, Alor Gajah, Melaka, menghimpunkan warna-warni seni, budaya dan warisan tempatan dalam satu karnival yang penuh keindahan serta nilai kebersamaan rakyat Malaysia.
Dianjurkan oleh Persatuan Pengurusan Acara Budaya dan Warisan Malaysia (PABWAM) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan serta rakan strategik, edisi kali ini hadir dengan penganjuran yang lebih besar selepas kejayaan penganjuran edisi pertamanya di Kuala Lumpur tahun lalu yang menerima sambutan amat memberangsangkan daripada penggiat seni, pelancong tempatan dan antarabangsa. Edisi kedua ini turut menampilkan pengisian istimewa menerusi “Jom Ngap Festival”,
sebuah festival makanan yang mengetengahkan keunikan hidangan tradisional dan moden dari seluruh Malaysia. Inisiatif ini dijangka menjadi tarikan utama bagi para pengunjung selain pelbagai persembahan kebudayaan, pameran warisan, demonstrasi kraftangan,pertandingan seni rakyat dan jualan produk tempatan. Program ini bakal dirasmikan pada 17hb oktober 2025 oleh Ahli Parlimen Alor Gajah, YB Haji Adly Zahari, yang juga merupakan Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, sebagai simbol sokongan terhadap usaha memperkasakan identiti bangsa melalui kesenian dan budaya.
Menurut Timbalan Presiden PABWAM, Nor Zaily Hasjadi, Jejak Seni Budaya Malaysia Madani di Melaka bukan sekadar sebuah acara kebudayaan, tetapi satu platform memperkukuh ekosistem seni dan pelancongan negara. Beliau menegaskan bahawa penganjuran di Melaka kali ini berpotensi besar menyumbang kepada industri pelancongan negeri serta memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat melalui penglibatan peniaga kecil, pengusaha makanan dan penggiat seni tempatan
. Program ini juga disokong oleh pelbagai agensi kerajaan selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026, menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancaran penting dalam rangka memperkenalkan Malaysia sebagai hub seni dan budaya serantau. Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai ke Dataran Keris, Alor Gajah, bagi menikmati suasana penuh warna, menyelami keunikan warisan budaya dan menyokong penggiat seni tempatan yang menjadi nadi kepada pembentukan masyarakat Malaysia Madani.