KOTA BHARU – Majlis penutupan Mosque Tourism Roundtable (MTRT) 2025 yang berlangsung di Hotel Perdana, Kota Bharu telah melabuhkan tirainya dengan pembentangan lima resolusi utama oleh Pengarah Penyelidikan dan Latihan, Puan Nur Alyssa Coraline Yussin.
Persidangan yang menghimpunkan hampir 100 peserta mewakili masjid-masjid dari seluruh negara termasuk wakil dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Islamic Tourism Centre (ITC), serta pelbagai agensi berkaitan, telah menjadi medan perbincangan strategik berkenaan masa depan pelancongan masjid di Malaysia.
Masjid Sebagai Titik Sentuhan Budaya dan Dakwah
Resolusi pertama mencerminkan persepakatan bahawa pelancongan masjid semakin mendapat permintaan tinggi. Masjid bukan sahaja menjadi tempat ibadah, tetapi turut berperanan sebagai jambatan budaya antara pelancong dan komuniti setempat, medium dakwah yang inklusif serta platform untuk menyelami seni bina Islam dan kehidupan masyarakat.
Keperluan Garis Panduan dan Latihan Komprehensif
Bagi memastikan pelaksanaan pelancongan masjid lebih berkesan, persidangan menekankan pentingnya garis panduan yang jelas, struktur organisasi yang mantap serta latihan bersesuaian kepada warga kerja masjid. Penglibatan dan sokongan komuniti setempat juga dikenal pasti sebagai faktor penting dalam menjayakan inisiatif ini.
Kerjasama Strategik Antara Masjid dan Agensi
Resolusi ketiga menggesa pengukuhan kerjasama antara masjid dan agensi seperti JAKIM, ITC, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), serta penggiat industri pelancongan melalui program MFAR dan MFTG. Ini bertujuan memperkukuh kedudukan pelancongan masjid dalam ekosistem pelancongan negara.
Peningkatan Keterampilan Profesional Warga Masjid
Slot bertajuk “Kemas dan Karisma” mengetengahkan keperluan warga masjid untuk tampil kemas, mesra dan profesional dalam menyambut pelawat sebagai cerminan kepada imej Islam yang positif dan diyakini.
Komunikasi Berhemah dan Penggunaan Teknologi
Dalam slot “Suara Masjid, Wajah Islam”, peserta sebulat suara menegaskan bahawa komunikasi bersama pelawat perlu dijalankan secara berhemah dan berempati, dengan kefahaman terhadap latar belakang mereka. Penggunaan teknologi digital seperti laman web dan media sosial juga perlu dimanfaatkan untuk promosi dan penyampaian maklumat secara efektif.
Mengakhiri pembentangannya, Puan Nur Alyssa menyatakan harapan agar resolusi-resolusi ini menjadi panduan ke arah menjadikan masjid bukan sahaja sebagai institusi ibadah, tetapi juga sebagai pusat dakwah, budaya, komuniti dan pelancongan yang progresif, profesional dan mesra pengunjung.



