KOTA BHARU – Malaysia terus mengorak langkah sebagai peneraju pelancongan mesra Muslim global melalui pelancaran Direktori Masjid Pelancongan serta penganjuran Persidangan Meja Bulat Pelancongan Masjid (MTRT) 2025 yang berlangsung di Hotel Perdana, Kota Bharu.
Program ini dianjurkan oleh Islamic Tourism Centre (ITC) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Yang Berhormat Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.
Inisiatif ini seiring dengan gagasan Malaysia MADANI yang menekankan pemerkasaan komuniti, keterangkuman serta penghormatan terhadap kepelbagaian, khususnya dalam menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan sosial dan budaya yang relevan dan dinamik.
Hotel Perdana dipilih sebagai lokasi rasmi penganjuran kerana status pengiktirafan Platinum di bawah program Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR), menjadikan lokasi ini simbolik kepada usaha memartabatkan standard pelancongan mesra Muslim.
Direktori Masjid Pelancongan yang dilancarkan boleh diakses dalam versi digital menerusi laman web mymuslimtrip.com. Ia merupakan panduan komprehensif dan mesra pengguna bagi pelancong dan pemain industri pelancongan dalam meneroka masjid-masjid di seluruh negara berdasarkan keperluan dan minat pelancongan mereka — sama ada untuk tujuan ibadah, lawatan budaya mahupun pengalaman warisan.
Direktori ini turut membantu masjid-masjid yang bersedia menerima pelancong untuk memperoleh pendedahan dan capaian yang lebih luas di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Dalam ucapannya, YB Datuk Khairul Firdaus berkata, “Direktori ini bukan sekadar senarai lokasi, tetapi satu platform yang membolehkan pelancong mengakses maklumat tentang masjid secara mudah, termasuk latar belakang sejarah, komuniti setempat, kemudahan yang disediakan serta tarikan pelancongan berdekatan.”
Beliau turut menegaskan bahawa usaha ini mampu memberi ruang kepada komuniti setempat untuk turut sama memainkan peranan dalam pelancongan, selari dengan semangat Malaysia MADANI yang mengangkat keterlibatan rakyat dan kesejahteraan bersama sebagai teras utama pembangunan negara.



