

KUALA LUMPUR – Pesta Citarasa Sambal Perpaduan bakal diperluaskan ke beberapa negeri termasuk Sarawak selain berpotensi dibawa ke London sebagai usaha memperkenalkan identiti makanan warisan Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Pengerusi Persatuan Seni Warisan Artistik Digital Malaysia, Azmi Jaffri berkata, pihaknya telah menerima tawaran awal untuk menganjurkan program berkenaan di London, namun perbincangan masih berjalan bagi menentukan masa yang sesuai termasuk aspek kos dan pemilihan produk yang akan diketengahkan.
Menurut beliau, festival tersebut bukan sekadar mempromosikan sambal, malah membawa identiti Malaysia sebagai syurga makanan pelbagai kaum dan budaya.


“Kami sudah menerima tawaran untuk menganjurkan program ini di London, tetapi masih dalam perbincangan terutama dari segi bajet dan produk yang hendak dibawa bagi mempromosikan warisan makanan Malaysia.
“Kita mahu program seperti ini membantu dunia mengenali Malaysia sebagai sebuah negara syurga makanan yang kaya dengan kepelbagaian kaum dan budaya,” katanya pada sidang media Pesta Sambal sempena Minggu Perpaduan di Muzium Negara pada Sabtu.


Turut hadir cef selebriti terkenal, Chef Dr. Liza Zainol serta Timbalan Pengerusi Persatuan Seni Warisan Artistik Digital Malaysia, Ariff Fadli Abd Wahab.
Azmi berkata, sambutan menggalakkan daripada pengunjung membuktikan makanan tradisional mampu menjadi medium perpaduan masyarakat pelbagai kaum selain membuka peluang kepada usahawan kecil memperluaskan pasaran produk mereka.
Tambah beliau, antara perancangan masa depan ialah membawa pertandingan ‘Sambal Malaysia’ ke Sarawak bagi mengetengahkan lebih banyak resipi warisan dari Sabah dan Sarawak.


“Kita mahu cari lebih banyak resipi tradisional dari seluruh negara dan himpunkan dalam satu platform supaya warisan makanan ini terus dikenali generasi muda,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azmi berkata, penglibatan Chef Dr. Liza dalam festival tersebut memberi nilai tambah besar kepada program menerusi demonstrasi masakan sambal dari Kedah yang dipersembahkan kepada pengunjung.


Katanya, beberapa cef lain turut menjayakan festival berkenaan termasuk Chef Zainal Abdul Rahman dan Chef Nasriyatulhanim Yem yang memperkenalkan pelbagai variasi sambal tradisional dari Johor dan Negeri Sembilan seperti sambal terutup dan sambal cendawan sisir.
“Dengan kehadiran Chef Liza, program ini menjadi lebih menarik kerana beliau bukan sahaja memperkenalkan inovasi sambal, tetapi turut berkongsi teknik dan keunikan masakan warisan dari Kedah.
“Chef-chef lain juga membawa identiti negeri masing-masing melalui demonstrasi masakan sambal tradisional yang jarang diketengahkan,” katanya.


Menurut Azmi lagi, festival itu turut memberi peluang kepada komuniti Orang Asli berkongsi ilmu makanan tradisional termasuk teknik memasak sambal menggunakan embut batang pokok kantan yang mendapat perhatian pengunjung.
Beliau berkata, elemen tersebut menjadikan Pesta Citarasa Sambal bukan sekadar festival makanan, sebaliknya platform pendidikan budaya dan warisan kulinari masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.


Selain mengetengahkan warisan makanan, penganjur turut membuka ruang kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk terlibat sebagai penghibur dan mempersembahkan bakat mereka kepada pengunjung sepanjang festival berlangsung.
Azmi berkata, penglibatan golongan OKU tidak seharusnya terhad kepada program khas komuniti berkenaan sahaja, sebaliknya perlu diberi peluang bersama masyarakat dalam pelbagai acara arus perdana mengikut kemampuan dan bakat masing-masing.


“Kita mahu mereka turut bersama dalam apa juga program masyarakat kerana ramai dalam kalangan mereka mempunyai bakat besar yang selama ini kurang diketengahkan.
“Sebagai penganjur, kita perlu bijak menyediakan ruang yang sesuai mengikut keupayaan mereka supaya golongan ini tidak terus dipinggirkan,” katanya.


Sementara itu, Chef Dr. Liza berkata, beliau menyokong usaha memperluaskan ekspo sambal ke seluruh negara dan luar negara kerana makanan warisan tempatan mempunyai potensi besar untuk diketengahkan secara lebih kreatif dan moden.


Menurut beliau, inovasi sambal ciptaannya yang menggunakan paru goreng rangup, pelbagai jenis cili, terung pipit dan petai membuktikan bahan tempatan mampu diolah menjadi menu premium bertaraf antarabangsa.




