PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memandang serius isu dakwaan ke atas sebuah loji sembelihan di Australia yang telah mendapat kelulusan untuk mengeksport daging ke Malaysia yang dikatakan telah melanggar prosedur penyembelihan halal.
JAKIM dan JPV ingin menegaskan bahawa prosedur pengiktirafan loji pemprosesan luar negara oleh kerajaan Malaysia dijalankan melalui satu prosedur ketat dan terperinci dan pengauditan secara sistematik dijalankan oleh pegawai-pegawai terlatih JPV dan JAKIM.
Proses pengauditan tersebut dijalankan berdasarkan SOP dalam standard Malaysia dan sebanyak empat kali pembentangan dan penilaian akan dilakukan sebelum keputusan diberikan bagi proses kelulusan.
Berkenaan kes dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal oleh sebuah loji sembelihan di Australia, JAKIM telah menjalankan siasatan ke atas loji sembelihan tersebut dan beberapa sisi perbincangan bersama pihak berkuasa Australia telah diadakan.
Pertemuan bersama Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat Malaysia (PEKEMAS) dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Dalam sidang khas antara JPV dan JAKIM bersama Department of Agriculture, Water and the Environment (DAWE) Australia pada 13 Mei 2022, mereka bersetuju untuk menggantung kelulusan yang diberikan kepada loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal berkuatkuasa serta merta sehingga hasil siasatan menyeluruh diperolehi.
Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) juga akan diberi surat tunjuk sebab dan statusnya sebagai badan persijilan halal yang diiktiraf JAKIM berkemungkinan dibatalkan jika mereka didapati tidak mematuhi keperluan standard halal Malaysia.