KUALA LUMPUR: IIUM Education Division telah menerima tajaan daripada Etiqa General Takaful Berhad yang bernilai RM150,000 untuk pelajar-pelajar Kolej Islam Antarabangsa (IIC) yang berlatar belakangkan kumpulan pendapatan B40.
Sebahagian daripada tajaan tersebut diperuntukkna untuk projek animasi 2D yang memfokuskan pendidikan islamik dan dakwah yang melibatkan pelajar tahun akhir Diploma Animasi Kreatif.
Majlis penyerahan tajaan tersebut telah diadakan di Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur dan tajaan diserahkan oleh Ahli Lembaga ETIQA, Prof. Madya Dr. Azman Mohd Noor kepada Ketua Pegawai Eksekutif IIC, En. Shamsul Kahar Haron.
Turut menghadiri majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Kewangan I, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah dan juga Datuk Seri Dr. Nik Nodzrul Thani Nik Hassan Thani yang merupakan Pengerusi IIUM Holdings Sdn Bhd.

Dalam ucapan beliau ketika majlis tersebut, Datuk Seri Dr. Nik Nodzrul Thani berterima kasih kepada ETIQA atas sumbangan yang diberikan.
“Tajaan ini membolehkan serta memperkasakan pelajar dengan pengetahuan, kemahiran dan sumber yang tepat dalam menghadapi cabaran-cabaran global serta membantu IIUM Education Division untuk terus melangkah ke hadapan pada tahun 2022,” kata beliau ketika majlis berlangsung.
Dalam majlis yang sama, kursus baharu iaitu Certificate in Islamic Banking and Finance for Legal Practitioners (CIBFL) turut diperkenalkan.
Perasmian kursus itu dilaksanakan oleh Timbalan Menteri Kewangan I, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah dan dihadiri oleh Dekan Institut Perbankan dan Kewangan Islam IIUM (IIiBF), YBhg. Prof. Dr. Rusni Hassan dan Pengarah Eksekutif Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), YBhg. Puan Ratna Sha’erah Kamaludin.

Kursus tersebut dilancarkan bagi membekalkan pengamal undang-undang dalam bidang perbankan dan kewangan Islam dengan asas Shariah dan Fiqh Muamalah.
Setakat ini terdapat 6,460 firma undang-undang di Semenanjung Malaysia di bawah Malaysian Bar dengan lebih daripada 20,000 orang pengamal undang-undang.
IIUM Education Division mensasarkan untuk menerima 1,500 orang pengamal undang-undang dalam tawaran pertama kursus CIBFL menggunakan Open EdEx iaitu sebuah system pengurusan pembelajaran (LMS) yang dibangunkan oleh Universiti Harvard.