KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersedia untuk merealisasikan cadangan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob, Perdana Menteri untuk membangunkan sebuah pusat latihan dan penyelidikan dikenal sebagai Centre of Advanced Automotive Research and Training (CAART).
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata saranan itu adalah signifikasi dalam memenuhi keperluan dari segi pembangunan tenaga kerja yang terlatih serta pendidikan dan juga penyelidikan dalam bidang automotive terkini seperti kenderaan hybrid, autonomous, elektrik dan sebagainya.
“Sesuai dengan lokasinya yang strategik dan terletak dalam wilayah Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV), KPT yakin bahawa UPSI ialah pilihan terbaik untuk menjayakan hasrat tersebut,” katanya.
Menurutnya lagi, usaha ini juga mampu menyumbang kepada aspirasi Kerajaan untuk menjadikan AHTV sebagai hab kepada pembangunan kereta elektrik sekali gus mencapai matlamat alam sekitar, sosial dan Tadbir Urus (ESG) selain membantu Malaysia sebagai negara neutral karbon menjelang 2050.
“Penubuhan pusat ini juga dilihat mampu menggalakkan insiatif industri dalam universiti (inkubator), Program 2U2I, dan program pembelajaran sepanjang hayat.
“Dari segi pelaksanaan, inisiatif ini akan dijayakan dengan kerjasama universiti teknikal yang memiliki kepakaran dalam bidang automotif seperti Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), serta DRB Hicom Universiti.
“Selain itu, ia juga akan membabitkan mana-mana IPT termasuk yang mempunyai kepakaran dalam bidang automotif seperti seperti Automotive Technology Centre (ATeC) di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin dan Centre of Automotive and Manufacturing Technology (POLCAM) di Politeknik Sultan Azlan Shah,” kata Dr Noraini.
Menurutnya, pembangunan pusat ini akan merealisasikan aspirasi usaha sama universiti dan industri seperti yang terkandung dalam pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).