PUTRAJAYA – Peningkatan kluster yang melibatkan institusi pendidikan tidak boleh diambil enteng oleh semua pihak , memandangkan ia akan membabitkan individu daripada pelbagai isi rumah di dalam ruang dan waktu yang sama .
Ketua Pengarah Kesihatan , Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah , berkata , ketidakpatuhan individu dalam mentaati prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan akan menyebabkan kluster yang tidak diingini terjadi .
Berdasarkan data yang dilaporkan oleh pihaknya , terdapat pertambahan 16 kluster baharu yang melibatkan institusi pendidikan , di mana 12 daripadanya dilaporkan berlaku di sekolah menengah dan institusi pendidikan tinggi .
“Walaupun kebanyakan populasi remaja dan dewasa kini sudah lengkap vaksin, Kementerian Kesihatan (KKM) ingin mengingatkan semula bahawa pengambilan vaksin tidak bermakna pematuhan SOP tidak diperlukan lagi .
“Pemakaian pelitup muka dengan cara yang betul dan kebersihan tangan masih lagi penting bagi mencegah jangkitan COVID-19 . Elakkan tempat yang sesak kerana penjarakan fizikal juga perlu dijaga .
“Perkukuhkan tindakan kesihatan kendiri dengan mengamalkan TRIIS (Test , Report , Isolate , Inform , and Seek) bagi mendidik diri kita menjadi individu yang bertanggungjawab dan melindungi orang-orang di sekeliling kita daripada risiko jangkitan ,” katanya di dalam satu kenyataan , hari ini .
Tambahnya lagi , Kementerian Pendidikan (KPM) turut mempunyai SOP tersendiri yang perlu dipatuhi oleh guru , petugas , pelajar dan pekerja sokongan , bagi memastikan tiada kes penularan jangkitan COVID-19 yang berlaku di kawasan sekolah , yang seterusnya boleh menyebabkan wabak berjangkit di dalam kalangan keluarga dan komuniti .
“Pematuhan ini bukan sahaja penting pada waktu pembelajaran di dalam kelas dan ketika di dalam sekolah , malah penting juga ketika waktu rehat , waktu menjalankan aktiviti fizikal seperti bersukan , waktu masuk dan pulang dari sekolah , di dalam van dan bas sekolah , serta semasa menjalankan aktiviti harian di dalam komuniti .
“Jangkitan dan penularan boleh berlaku di mana-mana , maka semua pihak perlu peka dan tidak lalai dalam mematuhi SOP yang ditetapkan ,” jelasnya .
Sehingga 4 Disember lalu , 5,969 kluster telah dilaporkan , dengan 227 kluster yang masih aktif , menurunkan sebanyak 3 peratus kluster berbanding Minggu Epidemik (ME) ke-47 .
“Ia membabitkan 21 kluster atau 51.2 peratus kluster di tempat kerja , kluster pusat pendidikan (16 kluster/39.1 peratus) , aktiviti keagamaan (dua kluster, 4.9 peratus) dan masing-masing satu kluster atau 2.4 peratus daripada kluster komuniti dan kumpulan berisiko tinggi,” katanya .