SHAH ALAM: Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-haj telah memperkenankan saf solat dirapatkan seperti biasa tanpa penjarakan sosial.
Baginda berkenan agar fungsi masjid, surau dan musolla sebagai pusat ibadah diteruskan seperti biasa selain daripada aktiviti-aktiviti menghidupkan bulan Ramadan seperti solat tarawih dan majlis ilmu.
Kerajaan Negeri Selangor berpendapat bahawa perkenan baginda merupakan satu keputusan yang tepat pada masanya memandangkan umat Islam akan mengambil kesempatan menunaikan ibadah setiap kali kedatangan bulan Ramadan.
Kerajaan Negeri Selangor turut berharap bahawa dengan kebenaran merapatkan saf ini, ramai umat Islam berpeluang untuk menunaikan solat tarawih, berbuka puasa, qiamullail di masjid dan melaksanakan ibadah-ibadah lain.
Bagaimanapun, Kerajaan Negeri Selangor menegaskan agar umat Islam mematuhi SOP yang telah ditetapkan seperti pihak pentadbir perlu memastikan hanya individu yang lengkap divaksin sahaja yang dibenarkan beribadah di masjid, surau dan musolla.
Selain itu, penutup mulut dan hidung perlu sentiasa dipakai ketika berada di mana-mana masjid, surau dan musolla dan umat Islam diingatkan untuk membawa sejadah dan rida’ sendiri.
Situasi 3S iaitu sesak, sempit dan sembang dekat juga perlu dielakkan dan ndividu yang bergejala perlulah bersikap bertanggungjawab dengan tidak menghadirkan diri ke masjid, surau dan musolla sehingga mereka sihat sepenuhnya.