KUALA LUMPUR -Semasa perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) menyampaikan tazkirah ringkas tetapi bermakna mengenai ibrah (pengajaran) ibadah haji. PMX memulakan dengan doa agar ibadah haji menjadi mabrur, dosa diampunkan, dan amal diterima.
PMX mengupas pandangan dua tokoh berbeza pandangan mengenai Haji, iaitu Malcolm X (El Haj Malik El-Shabazz) dan Snouck Hurgronje. Malcolm X menceritakan bagaimana pengalaman hajinya mengubah pandangan hidup, membawanya dari pemikiran rasis kepada memahami karamah insaniah (kemuliaan insan tanpa mengira bangsa dan warna kulit).
Surat beliau dari Makkah mencerminkan perubahan mendalam ini. Disebut juga pertemuannya dengan tokoh-tokoh Islam seperti Gamal Abdul Nasser dan Syeikh Amin al-Huseini.
Sementara itu, Snouck Hurgronje, seorang orientalis Belanda yang menyamar dan tinggal di Makkah (1884-1885), lalu menggunakan pengetahuannya tentang Haji untuk melemahkan umat Islam, khususnya dalam penjajahan Acheh.
Kajiannya menunjukkan kekuatan Acheh datang daripada ulama yang kembali dari haji dan membina institusi pendidikan Islam (pondok/pesantren).
PMX menyimpulkan bahawa ibadah Haji mempunyai nilai transformatif – bukan sekadar ritual, tetapi mampu mencipta masyarakat berilmu, mandiri dan berakhlak.
Tazkirah PMX mengajak kita merenung secara mendalam erti sebenar haji – sebagai pengalaman spiritual yang menyatukan manusia atas dasar tauhid dan kemanusiaan, serta sebagai sumber kekuatan umat jika dihayati dengan betul.
Saya juga mencadangan kepada semua untuk membaca “The Road to Mecca” oleh Muhammad Asad (Leopold Weiss); “The Hajj” oleh Ali Shariati; dan “Blood Brothers” tentang hubungan Malcolm X dan Muhammad Ali sebagai bahan bacaan tambahan.