

Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) telah membuka tirai Panggung Seni Tradisional (PST) bagi tahun 2026 dengan genre tarian tradisional bertajuk “Gerayu: Merentas Tradisi, Menyulam Kreasi” pada 12 dan 13 Jun 2026, bertempat di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) bermula pukul 8.30 malam.
Majlis Pelancaran Panggung Seni Tradisional (PST) 2026 yang berlangsung pada malam ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Majlis turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Encik Mohd Amran bin Mohd Haris, Ketua Pengarah JKKN.


“Gerayu: Merentas Tradisi, Menyulam Kreasi” yang dipersembahkan oleh Dansa Fusion Kuala Lumpur merupakan produksi pembuka tirai PST2026 daripada keseluruhan empat (4) siri persembahan yang akan dilaksanakan menerusi kerjasama strategik bersama persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seni budaya dalam usaha melestarikan seni persembahan tradisional.
Dansa Fusion Kuala Lumpur menampilkan pendekatan artistik yang menggabungkan keindahan tarian tradisional, etnik dan elemen kontemporari dalam satu kerangka persembahan, tanpa mengabaikan motif serta falsafah asal warisan budaya. Setiap karya yang dihasilkan bukan sahaja mengekalkan nilai budaya, tetapi turut meneroka pendekatan baharu dalam struktur koreografi, penceritaan melalui gerak serta komposisi pentas.


Berkonsepkan edukatif, persembahan ini dibahagikan kepada tiga (3) segmen utama iaitu Pembukaan (Tari Silat Gelanggang Pusaka), Segmen Tradisional (Tarian Inang, Tarian Zapin Padang Sari, Tarian Melayu Asli, Tari Rakyat Tempurung, Tarian Alang Sinsiron dan Ajat Naku) serta Segmen Kreasi (Tarian Zapin Pecah 8, Tarian Joget Kelit Menyisi, Tarian Inang Serong, Tarian Langgie Nganap, Alai Bergandang dan Tarian Mogiad Do Tombolog). PST Gerayu diterajui oleh Muhamad Zakwan Hafizie bin Zakaria yang juga merupakan seorang koreografer dan pengarah artistik serta Ealbie Breandent sebagai Pengarah Produksi.
Persembahan selama dua (2) hari ini melibatkan seramai 48 orang artis dan turut diserikan dengan persembahan kumpulan jemputan dari Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail II melalui Tarian Rakyat “Tempurung”, serta Kumpulan Legasi Seni dengan persembahan “Langgie Pimaasau”.


YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, Ketua Setiausaha MOTAC berkata, MOTAC menaruh harapan agar pelaksanaan program seni persembahan tradisional ini akan terus menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh dan menyemarakkan seni, budaya serta warisan negara, selaras dengan visi MOTAC iaitu “Malaysia – Destinasi Lestari Kaya Budaya”.
Selain “Gerayu”, PST yang telah 13 tahun dianjurkan ini juga bakal menampilkan tiga (3) lagi karya unggul daripada kumpulan persembahan yang terpilih iaitu:
Siri 2 – 26 & 27 Jun 2026
Tajuk : “Ramayanam: The Eternal Victory of Dharma”
Genre : Tarian Klasik India
Karya : Vehaara Arts
Siri 3 – 25 & 26 September 2026
Tajuk : “Maargam: Natya, Raaga, Rasa”
Genre : Muzikal Tradisional India
Karya : Persatuan Kebudayaan & Kesenian Warisan Malaysia
Siri 4 – 2 & 3 Oktober 2026
Tajuk : “Sri Gemalai: Fragmen Rakyat Johor”
Genre : Muzikal Tari
Karya : Persatuan Seni Budaya Tari Aliff Johor Bahru bersama
Sekolah Seni Malaysia Johor
Bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari media sosial JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya.
Dikeluarkan Oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Tel: 03-2614 8200 Faks: 03-2697 0786
Laman Sesawang: www.jkkn.gov.my E-mel: ukk@jkkn.gov.my
Platform Media Sosial Rasmi JKKN:
Facebook: @Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan @mysenibudaya
Instagram, Twitter & YouTube: @mysenibudaya


