

KUALA LUMPUR – Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab wakaf global menerusi pemeteraian dua memorandum persefahaman (MoU) strategik oleh Global Wakaf Al-Quran (GWAQ) serta pelancaran semula majalah antarabangsa Islamica yang memilih negara ini sebagai pusat penerbitan baharu.
Langkah itu dilihat sebagai usaha memperkasa ekosistem wakaf, pendigitalan serta penyebaran ilmu Islam di peringkat antarabangsa, selari dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai peneraju pembangunan wakaf bermula di rantau ASEAN sebelum diperluaskan ke Asia dan seluruh dunia.


MoU pertama dimeterai antara GWAQ, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Tulus Digital dan Islamica, manakala MoU kedua melibatkan PERKIM bersama ToyyibPay, i-Wealth X, MobilityOne, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM).


Pengerusi Bersama GWAQ, Prof. Datuk Dr. Mazlan Ahmad berkata, kerjasama strategik berkenaan membuktikan pembangunan ekosistem wakaf memerlukan gabungan kepakaran pelbagai pihak bagi memperluaskan manfaatnya di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Dalam tempoh lima tahun akan datang, Malaysia menyasarkan untuk memulakan kerjasama dari peringkat ASEAN, sebelum diperluaskan ke Asia dan seterusnya ke seluruh dunia. Matlamatnya adalah supaya sistem wakaf yang dibangunkan di Malaysia dapat digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurut beliau, kerjasama itu turut membuka ruang memperkukuh agenda dakwah melalui penyediaan al-Quran terjemahan kepada lebih banyak masyarakat selain memanfaatkan teknologi digital bagi memastikan platform Global Wakaf Al-Quran berkembang secara mampan.
“Yayasan Restu menerusi Nasyrul Quran, kemudahan percetakan al-Quran kedua terbesar di dunia, telah menerbitkan al-Quran terjemahan dalam 32 bahasa, termasuk bahasa Iban dan beberapa dialek serantau lain,” katanya.


Katanya, kerjasama bersama Tulus Digital pula akan menyokong pembangunan penyelesaian digital inovatif yang mampu memperkukuh kemampanan serta pertumbuhan jangka panjang platform Global Wakaf Al-Quran.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Datuk Dr. Mohamad Marzuka Mohd. Omar berkata, pengukuhan sektor wakaf memerlukan institusi khusus bagi memastikan pengurusan serta pembangunan wakaf negara dapat dilaksanakan secara lebih tersusun.
“Insya-Allah bermula tahun ini, Kementerian Wakaf akan diwujudkan. Apabila kita mempunyai nadi pembangunan, langkah seterusnya ialah mewujudkan Bank Wakaf Digital Nasional bagi menjaga kepentingan, kebajikan dan pembangunan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, PERKIM turut merancang penubuhan Bank Wakaf Digital International sebagai platform memperkasakan pembangunan wakaf di peringkat global, bermula dengan ASEAN sebelum berkembang ke rantau Asia dan seluruh dunia.
“Kita tidak boleh melepaskan tanggungjawab Malaysia terhadap dunia Islam. Sebab itu kita akan menubuhkan Bank Wakaf Digital International yang akan menjadi platform memperkasakan pembangunan wakaf di peringkat global,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, majalah antarabangsa Islamica kembali diterbitkan selepas 17 tahun dihentikan operasinya dengan Malaysia dipilih sebagai hab penerbitan baharu bagi memperkukuh wacana Islam global serta menangani salah faham terhadap agama itu.
Pelancaran semula majalah berkenaan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026, sekali gus membuka lembaran baharu penerbitan Islamica yang sebelum ini berpusat di Jordan sebelum dihentikan pada 2009.
Prof. Datuk Dr. Mazlan berkata, pemilihan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama Islamica dibuat bagi memastikan kandungan majalah itu dapat diakses masyarakat antarabangsa.
“Bahasa Inggeris digunakan sekarang sebab ia adalah lingua franca. Jadi kita satukan mereka melalui satu bahasa, iaitu bahasa Inggeris buat masa sekarang. Tetapi insya-Allah, kita akan mempelbagaikan lagi bahasa pada masa akan datang,” katanya.
Pengasas dan Ketua Pengarang Islamica, Sohail Nakhooda berkata, penerbitan semula majalah itu bertujuan mengisi kekosongan sebuah majalah antarabangsa yang mampu menjadi wadah pemikiran masyarakat Islam global.
“Populasi Muslim kini mencecah dua bilion, tetapi malangnya kita tidak mempunyai sebuah majalah antarabangsa yang serius. Ia satu kerugian besar dan perkara ini tidak boleh dibiarkan berterusan,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia dipilih sebagai ibu pejabat baharu Islamica kerana mempunyai ekosistem media kreatif yang kukuh, sokongan institusi yang baik serta kedudukan strategik untuk menyelaras pengedaran ke seluruh dunia.
Selain diterbitkan dalam bentuk fizikal setiap suku tahun, Islamica turut melancarkan platform digital dengan kandungan harian, mingguan dan bulanan yang memberi tumpuan kepada generasi muda menerusi pendekatan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI).
Sohail berkata, Islamica turut membawa misi memperbetulkan persepsi masyarakat antarabangsa terhadap Islam ketika sentimen Islamofobia semakin meningkat di beberapa negara.
“Lebih 40 peratus pembaca kami terdiri daripada golongan bukan Islam, termasuk ahli keluarga diraja, duta, pengamal media dan kumpulan pemikir. Islamica hadir sebagai satu cara indah untuk melawan naratif tersebut, memberi inspirasi kepada minda menerusi penulisan berkualiti dan menyentuh hati bagi menonjolkan kehebatan tamadun kita,” katanya.
Edisi baharu Islamica akan diterbitkan dalam bentuk fizikal dan dalam talian dengan kandungan meliputi politik antarabangsa, kepimpinan, teknologi serta pembangunan, manakala edisi pertama dicetak sebanyak 1,000 naskhah untuk pasaran Malaysia dengan tambahan 5,000 naskhah dijangka diterbitkan bagi memenuhi permintaan.


