KUALA LUMPUR – Berita gembira bagi peminat muzik tradisional tempatan , Istana Budaya akan mengadakan satu konsert muzik gamelan , Gema Gangsa yang menampilkan konsep gamelan Melayu Tradisional dan kontempori dengan gubahan baharu tanpa menghilangkan nilai tradisi serta ciri estetika muzik gamelan , di bawah program gabungan Pemuzik OTM dan Kumpulan Asuhan Seni Istana Budaya .
Menariknya , konsert ini akan dibahagikan kepada 3 segmen , di mana pertama lebih bersifat Tradisional (Istana) , persembahan gamelan akan dilakukan berbentuk lagu tradisional yang sering dimainkan di majlis-majlis diraja . Manakala yang kedua , muzik gamelan akan dimainkan dengan melodi ciptaan baharu (Kreasi) yang diinspirasikan daripada perkembangan muzik di Malaysia .
Untuk segmen yang terakhir , muzik gamelan yang sedia ada akan digabungkan dengan muzik moden yang menampilkan pelbagai genre seperti balada , jazz , pop , rock dan juga hip hop di dalam usaha untuk menarik minat generasi muda , di samping memartabatkan semula muzik tradisional ini agar boleh diterima sehingga ke peringkat universal .
Ramai tetamu jemputan yang akan hadir bagi memeriahkan konsert ini , di antaranya ialah Wan Salmah Wan Sulaiman dan Hamzah Abd Hamid , Ella , Naqiu dan ramai lagi .
Konsert Gema Gangsa bakal dipentaskan pada 27 dan 28 November ini di Panggung Sari , Istana Budaya pada jam 8.30 malam . Bagi yang berminat untuk hadir ke konsert ini , boleh menempah tiket di laman web rasmi Istana Budaya , dijual bermula daripada harga RM78 sehingga RM108 dan boleh didapatkan di Kaunter Box Istana Budaya bermula 15 November ini .