KINABATANGAN – Maut menimpa dua wanita , manakala tiga lelaki cedera parah menjadikan 5 orang mangsa yang terlibat di dalam kemalangan di Jalan Sandakan ke Lahad Datu , berdekatan Kampung Segaliud , pagi tadi .
Dilaporkan bahawa , Perodua Alza yang dinaiki lima sekeluarga berkenaan dalam perjalanan menghala ke Kinabatangan sebelum dikatakan terbabas sendiri ke kiri jalan raya kira-kira pada jam 6 pagi tadi .
Kedua wanita yang dilaporkan maut berusia14 dan 40 tahun , sementara tiga lelaki yang parah berusia di antara 15 tahun sehingga 33 tahun , termasuk pemandu kenderaan tersebut .
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan , Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata , pihaknya bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada 6.02 pagi , bersama enam anggota penyelamat menaiki sebuah jentera.
“Akibat kejadian, terdapat seorang wanita dewasa dan seorang remaja perempuan meninggal dunia di lokasi kejadian .
“Manakala , dua remaja lelaki dan seorang pemandu lelaki dewasa dilaporkan mengalami kecederaan parah lalu dikejarkan ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan lanjut ,” Jelasnya .
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis bagi siasatan lanjut , namun operasi telah ditamatkan pada 9.22 pagi . – HARIAN METRO