KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia mula kecoh di laman sosial apabila berlaku satu masalah teknikal yang melibatkan aplikasi MySejahtera sehingga ia memberi kesan kepada ramai pengguna , sejak Ahad lalu . Lebih teruk , seorang pengguna mendakwa tidak dibenarkan menaiki pesawat penerbangan kerana status aplikasi MySejahteranya bertukar kepada PUS .
Namun , sebaliknya pula yang dinyatakan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) . Masalah teknikal yang dialami aplikasi Mysejahtera belum lagi menimbulkan sebarang isu yang melibatkan kalangan penumpang , mahupun penjadualan semula penerbangan .
“Kami tidak menerima sebarang laporan atau aduan mengenai mana-mana penumpang terlepas penerbangan atau penjadualan semula penerbangan di KLIA berikutan masalah teknikal MySejahtera ,” jelas pihak mereka .
Pihaknya juga akan terus memerhati perkembangan masalah teknikal aplikasi tersebut dengan semua syarikat penerbangan yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) .
“Penumpang yang memerlukan apa-apa bantuan berhubung masalah ini boleh menghubungi KLIA di talian 03-8777 8888 ,” katanya , hari ini .
Berkenaan dengan isu ini , MySejahtera telah memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi oleh para pengguna menerusi akaun rasmi Twitternya , dan menjelaskan bahawa pihak mereka sudah menyelesaikan isu ini daripada punca masalah tersebut . – BERITA HARIAN