8 NOVEMBER 2021: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara dan Universiti Terengganu Malaysia (UMT) melancarkan First Asean Underwater Mini Landmark (AUMiL) yang mempamerkan sebelas mercu tanda ikonik dari semua Negara Anggota ASEAN.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri terdahulu melancarkan Program Asean Underwater Mini Landmark (AUMiL) yang bertempat di Pulau Bidong, Terengganu pada petang tadi.
Program penting ini telah diluluskan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Kebudayaan ASEAN-COCI ke-20 (SCC ke-20) dan Mesyuarat Rangkaian Kerjasama Kebudayaan ASEAN Campur Tiga (APTCCN) ke-8di Siem Reap, Kemboja pada Jun 2019 dengan jumlah peruntukan sebanyak 70,000USD di bawah Tabung Kebudayaan ASEAN.
Mengulas lanjut, AUMiL akan dibangunkan sebagai satu produk pelancongan budaya yang mampan di Malaysia selain menggalakkan usaha untuk memulihara dan memelihara warisan budaya bawah air. Ia juga akan memupuk penghargaan budaya yang lebih tinggi di kalangan ASEAN.
Sementara itu, program ini akan berlansung selama lima (5) hari bersempena dengan ASEAN Seminar on Preservation and Protection of the Underwater Cultural Heritage di Pulau Bidong dan Kuala Terengganu pada 7 hingga 11 November 2021.
Seminar tersebut akan memperlihatkan pakar-pakar dari negara ASEAN bersidang, berkongsi dan bertukar pengetahuan serta pengalaman dalam menguruskan cabaran dalam perlindungan warisan budaya bawah air dan arkeologi semasa seminar.
Dalam pada itu, antara Mercu Tanda Mini ASEAN yang diletakkaan di dasar laut pada kedalaman 10-15 meter di Pulau Bidong ialah Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur-KLCC (Malaysia), Masjid Sultan Haji Omar Ali Saifuddien (Brunei), Monumen Kemerdekaan Kemboja, Monumen Patuxel (Laos), Monumen Nasional Indonesia, Pagoda Shwedagon (Myanmar), José Rizal Monumen (Filipina), Merlion (Singapura), Wat Arun Ratchawaram Ratchaworamahawimah (Thailand) dan Pagoda Tran Quôc (Vietnam).