KUALA LUMPUR: Sebanyak 19 lorong SmartTag dibuka semula oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) setelah pelaksanaan sistem pembayaran tol yang menggunakan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
Ekoran beberapa masalah berkaitan pelaksanaan RFID yang timbul, pihak PLUS berkata bahawa mereka ambil maklum tentang isu yang berlaku dan komited dalam menambahbaik tahap pengalaman pelanggan di lebuh raya PLUS.
19 LORONG SmartTag di 16 plaza tol akan diaktifkan semula sebelum 25 Januari ini bagi melancarkan trafik sempena perayaan Tahun Baru Cina.
Menurut PLUS, sebanyak 24 lagi Lorong SmartTag di 18 plaza tol akan dibuka setelah perayaan Tahun Baru Cina pada 19 Februari akan datang.
Selain itu, palang tol berganda yang lebih pantas akan ditambah di plaza-plaza tol dengan kadar trafik yang tinggi serta lokasi zon pengesanan RFID akan ditanda pada permukaan jalan bagi memastikan kelancaran penggunaan RFID.
PLUS juga menempatkan Pembantu Khidmat Pelanggan di semua 158 lorong RFID bagi membantu pelanggan yang menghadapi masalah.
Bagi pengguna yang mengalami masalah pengesanan RFID di lebuh raya PLUS, pembantu khidmat pelanggan PLUS akan memberi kupon Touch N Go.
Pengguna juga boleh ke mana-mana Pusat Pemasangan Tag RFID untuk pemeriksaan dan pihak Touch N Go akan menggantikan tag yang rosak secara percuma.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut berkata bahawa pengguna harus diberi kebebasan sama ada mereka ingin menggunakan RFID atau sebaliknya.