KUALA LUMPUR: Perubahan status MySejahtera milik Datuk Seri Najib Razak sebanyak dua kali yang berlaku pada pagi ini menyebabkan perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) ditunda.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Collin Lawrence Sequerah menunda perbicaraan ke hari Selasa setelah dimaklumkan mengenai status MySejahtera bekas Perdana Menteri yang ditanda sebagai ‘individu dalam pemantauan’.
Peguam Najib Razak, Datuk Hariharan Tara Singh berkata bahawa status tersebut masih tidak berubah walaupun kliennya telah melakukan ujian Rapid Antigen Kit (RTK) dan mengemaskini MySejahtera miliknya seperti yang diarahkan oleh mahkamah.
“Menurut garis panduan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jika individu merupakan sebahagian daripada kontak rapat, kuarantin selama 10 hari perlu dijalankan.
“Mereka perlu kuarantin diri sebagai tanggungjawab sosial. Perkara ini termasuk dalam prosedur operasi standard,” tambahnya lagi.
Ketika tiba di mahkamah, status MySejahtera milik Najib dan peguam bela utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ditanda sebagai ‘kontak kasual’.
Mereka kemudian mengemaskini profil MySejahtera milik mereka dan status menunjukkan ‘risiko rendah’ sebelum dibenarkan masuk ke dalam mahkamah.
Namun, ketika berada dalam mahkamah, status MySejahtera mereka berubah semula kepada ‘individu bawah pemantauan’ dan ‘kontak kasual’ dan mereka diminta untuk keluar dari mahkamah.
“Minggu lepas saya dimarah sebab saya tidak hadir di mahkamah setelah status MySejahtera saya tukar ke warna kuning.
“Pagi ini saya hadir tetapi saya dihalang masuk mahkamah sebab warna MySejahtera saya masih kuning,” kata Najib dalam catatan Facebook miliknya.