KUALA LUMPUR – Tiada rezeki bagi skuad boling negara setelah trio lelaki dan wanita tersingkir pada suku akhir Kejohanan Boling Dunia di Dubai , Emiriah Arab Bersatu (UAE) , semalam .
Pemain lelaki yang diwakili oleh Syafiq Ridhwan Abdul Malik , Muhammad Rafiq Ismail , Muhammad Syazirol Shamsudin dan Timmy Tan Chye Chern tidak berjaya menembusi pihak lawan mereka daripada Amerika Syarikat dalam perlawanan setelah tewas 226-243 yang diadakan di Pusat Boling Antarabangsa Dubai .
Manakala barisan pemain wanita yang terdiri daripada Natasha Mohamed Roslan , Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman , Nur Syazwani Sahar dan Faten Najihah Ahmad Faik telah disingkirkan oleh Singapura , dengan jumlah 254-203 menerusi acara trio wanita .
Maradona Chok , pengurus pasukan boling negara meluahkan rasa kekecewaannya apabila melihat anak buahnya tidak berjaya melewati peringkat suku akhir , meskipun mereka telah bermatian berusaha untuk membuat balingan bola yang baik semalam .
“Sukar untuk gambarkan perasaan . ‘Pin carry’ adalah isunya terutama dengan trio lelaki . Bagi pasukan wanita pula , Singapura benar-benar memiliki ‘permainan A’ .
“Mereka melakukan tujuh strike pada lapan frame sementara kita agak bergelut untuk mendapatkan strike ,” jelasnya dalam satu kenyataan , hari ini . – BERNAMA