
KUALA LUMPUR-Saya memandang serius laporan berkenaan penganjuran program bertemakan Pride Care: Queer Stories & Sexual Health Awareness yang didakwa bertujuan meraikan Pride Month, seperti yang tular melalui platform media sosial baru-baru ini. Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, serta berpegang kepada nilai budaya Timur yang luhur, sebarang bentuk usaha yang dilihat cuba menormalisasikan gaya hidup songsang seperti LGBTQ adalah bertentangan dengan asas Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sedia ada dan dasar rasmi kerajaan.
Saya ingin tegaskan bahawa kerajaan Malaysia menolak sebarang bentuk naturalisasi budaya LGBTQ, secara halus atau terbuka. Tindakan penganjuran program sebegini, walaupun bersifat tertutup, jelas mencabar norma masyarakat serta nilai agama yang dianuti majoriti rakyat Malaysia. Saya menyarankan agar:
1. Pihak berkuasa termasuk PDRM segera menyiasat penganjuran program ini dan mengambil tindakan sewajarnya jika wujud sebarang pelanggaran undang-undang.
2. Penganjur menghentikan serta-merta sebarang aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang negara dan nilai moral masyarakat.
3. Agensi-agensi agama, termasuk JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri, bersedia memainkan peranan penguatkuasaan, khususnya jika melibatkan penyertaan umat Islam.
Pada masa yang sama, saya menyeru kepada semua pihak untuk bersama mempertahankan struktur sosial dan moral masyarakat kita daripada sebarang anasir yang boleh merosakkan akidah, akhlak dan keharmonian negara. Kerajaan MADANI akan terus menjunjung prinsip Maqasid Syariah dalam tadbir urus negara demi memelihara agama, akhlak dan maruah umat.
Budaya songsang tidak akan pernah menjadi norma di bumi Malaysia.”
Sekian, terima kasih.
Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)