29 Disember 2021: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya Tourism Malaysia menjadi tuan rumah kepada Pavilion Malaysia bagi minggu ke-13 di Expo 2020 Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula 26 Disember 2021 hingga 31 Disember 2021.
Bertemakan ekopelancongan, Malaysia dipromosikan sebagai Top of the Mind Ecotourism Destination of the World. Ekopelancongan di Astaka Malaysia adalah bertepatan dengan Dasar Pelancongan Negara Malaysia 2020-2030 yang mengetengahkan aktiviti pelancongan lestari dan bertanggungjawab.
Delegasi Malaysia disertai oleh 16 organisasi yang terdiri daripada lima (5) Lembaga pelancongan negeri, tiga (3) persatuan, satu (1) rangkaian hotel, satu (1) pemilik produk dan enam (6) pengusaha pelancongan.
Dalam pada itu, siri perkongsian ilmu Expert Talk juga turut dijadualkan untuk dianjurkan oleh Tourism Malaysia sepanjang Minggu Ekopelancongan di Astaka Malaysia. Siri ini bakal membuka peluang kepada para peserta untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang perspektif ekopelancongan yang berbeza di Malaysia.
Antara penceramah yang tampil dalam siri tersebut adalah En. Andrew Sebastian (Ecotourism & Conversation Society Malaysia), En. Syed Abd Rahman Syed Hassan (Diveheart Malaysia), Prof. Adj. Anthony Wong Kim Hooi (Pakar Ekopelancongan & Kelestarian) serta En, Eric Sinnaya (Malaysia Nature Society).
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri turut merasmikan pelancaran beca tradisional Malaysia pada hari ini serta beberapa pakej Malaysia yang mempromosikan produk ekopelancongan baharu di seluruh Malaysia.
Beliau juga akan menghadiri majlis networking dinner bersama para pemain industri dan wakil media di UAE pada 30 Disember 2021 bersempena dengan Misi Jualan Pelancongan yang pertama kali diketuai beliau di Timur Tengah.
“Penyertaan Malaysia dalam ekspo serta pembentukan Kerjasama pintar dan strategik secara global ini bukan sahaja penting dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan, tetapi paling utama ialah ia bertindak sebagai pemacu yang akan membantu penggiat industri”
Terdahulu, Kerajaan Malaysia telah melancarkan Projek Rintis Gelembung Perjalanan Antarabangsa Langkawi yang menyasaerkan ketibaan para pelancong antarabangsa lengkap divaksinasi bermula pada 15 November 2021.