1. KUALA LUMPUR, 27 Jun – Seramai 267 pelajar daripada komuniti Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di Wilayah Persekutuan berjaya menamatkan Program Kelas Tuisyen SPM & 3M anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Yayasan Hasanah. Majlis Penutup Program telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, YBrs. Dr. Abdul Basir bin V. Kunhimohamed di Kompleks Arena Sukan.
2. Program yang berlangsung dari Disember 2024 hingga Mac 2026 itu merupakan antara inisiatif strategik YWP dalam memperkasakan pendidikan anak-anak Wilayah Persekutuan melalui penyediaan kelas tuisyen, modul pembelajaran yang komprehensif serta bimbingan akademik secara berterusan.


3. Program tersebut melibatkan 113 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 154 pelajar Program 3M (Membaca) yang mengikuti sesi pembelajaran di enam Pusat Pendidikan dan Komuniti (PREPKOM) Yayasan Wilayah Persekutuan di Lembah Pantai, Bandar Tun Razak, Titiwangsa, Setiawangsa, Cheras dan Wangsa Maju.
4. Sebanyak RM498,000 telah diperuntukkan bagi melaksanakan program ini dengan kerjasama Yayasan Hasanah, Universiti Malaya, Universiti Utara Malaysia, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta beberapa rakan strategik lain bagi menyediakan modul pembelajaran yang lebih interaktif dan berkesan.
5. Program ini turut merekodkan pencapaian yang memberangsangkan apabila 86 peratus peserta Program 3M berjaya mencapai KP32 Bahasa Melayu, manakala 84 peratus pelajar SPM mencapai KP9 Matematik. Selain itu, semua peserta SPM berjaya memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia, 55 peratus memperoleh sekurang-kurangnya Gred C bagi Bahasa Inggeris dan 40 peratus memperoleh sekurang-kurangnya Gred C bagi Matematik. Malah, beberapa peserta turut berjaya memperoleh keputusan 5A dan ke atas dalam peperiksaan SPM.


6. Kejayaan tersebut membuktikan keberkesanan pendekatan pembelajaran yang dilaksanakan menerusi kerjasama erat antara YWP, institusi pendidikan, guru, ibu bapa serta rakan strategik dalam membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar.

7. Sejak penubuhannya pada tahun 1986, Yayasan Wilayah Persekutuan terus komited memperkasa pembangunan modal insan melalui pelbagai program pendidikan dan kebajikan demi meningkatkan taraf hidup warga Wilayah Persekutuan. Tadbir urus Yayasan juga terus diperkukuh dengan pengurusan dana yang telus sebagaimana dibuktikan menerusi Laporan Audit Tahun Kewangan 2024 dan 2025.


8. YWP berharap program seumpama ini akan terus diperluaskan bagi melahirkan lebih ramai generasi muda Wilayah Persekutuan yang cemerlang, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara



