KUALA LUMPUR: Kaedah kad Touch ‘n Go dan SmartTag akan dihentikan secara berperingkat bagi memberi peluang memperbanyakkan lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) disediakan di lebuhraya sebelum pelaksanaan MLFF.
Kementerian Kerja Raya dalam satu kenyataan berkata transaksi tol menggunakan RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) akan dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 15 Januari depan bagi menandakan ketersediaan RFID di semua lebuh raya Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
Untuk mendapatkan tag RFID, pengguna boleh mendapatkannya secara online menerusi Touch ‘n Go eWallet, portal Touch ‘n Go atau ejen pemasaran yang dilantik untuk memasangnya sendiri.
Dalam pada itu, pembelian dan pemasangan tag RFID juga boleh dibuat di 39 pusat pemasangan tag RFID di seluruh Semenanjung Malaysia.
Menurut Kementerian Jalan Raya, jumlah pusat jualan dan pemasangan ini akan ditambah bagi membolehkan lebih ramai pengguna mendapatkan tag RFID untuk kemudahan pengguna dalam sistem pembayaran RFID.
Orang ramai disarankan agar segera beralih kepada sistem pembayaran tol RFID bagi menikmati perjalanan yang lebih baik dan mudah seiring dengan perkembangan teknologi pada masa kini.