Satu lagi kejayaan baru bagi filem ‘Showtime 1958’ , terbitan sulung oleh Nafalia Corporation Sdn Bhd apabila merangkul Anugerah Platinum dalam kategori Best Costume Design di Eastern Europe International Movie Awards (EEIMA) , baru-baru ini .
Kak Akma – Pereka Kostume Showtime 1958
Filem arahan pengarah yang sudah menempa nama dalam industri tanah air , Anwardi Jamil , bekerjasama dengan Akma Suriati , pereka kostum bagi filem Showtime 1958 yang mengangkat tema hitam putih yang diinspirasikan daripada kisah benar oleh Allahyarham Datuk Jamil Sulong .
Anwardi Jamil , Pengarah Filem Showtime 1958
Showtime 1958 yang difilemkan pada tahun 2019 ini , berkisarkan tentang perjuangan perit seorang anak seni yang belum pernah lagi dikongsikan oleh mana-mana media sebelum Studio Jalan Ampas , Singapura ditutup setelah 20 tahun pengoperasiannya .
Meskipun filem ini tidak berjaya membawa pulang sebarang anugerah dalam Festival Filem 31 dan mana-mana festival filem tempatan , namun namanya seringkali disebut-sebut oleh penyampai anugerah di festival perfileman luar negara .
Sebelum ini , filem ‘Showtime 1958’ telah berjaya merangkul dua anugerah di Asian Cinematography Awards (ACA) 2021 di Manila , Filipina , pada 24 Mei lalu . Antara anugerah yang diterimanya ialah Pengarah Asia Terbaik ; Anwardi Jamil , dan juga Sinematografi Terbaik menerusi pengarah fotografinya , Norazam Mohd Yusoff .
Bukan itu sahaja , Showtime 1958 juga terpilih dalam senarai di antara tiga filem terbaik bagi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Cardiff pada Oktober 2020 .
Malah , penampilan para aktor utama iaitu Fatin Afeefa dan Shah Iskandar turut memenangi anugerah Runut Bunyi dan Muzik Terbaik di Karnival Filem Dunia 2021 di Singapura .
Fatin Afeefa dan Shah Iskandar ketika membuat persembahan Showtime 1958
Ini membuktikan elemen seni dan budaya tempatan lebih menarik perhatian daripada perfileman luar negara kerana keunikannya yang sukar untuk ditandingi oleh industri luar , meskipun teknologi mereka lebih gah dan canggih berbanding produksi tempatan .