Dalam menangani penularan wabak COVID-19 yang belum pernah berlaku sebelum ini, Malaysia berdiri dalam solidarity dengan seluruh dunia dalam menyokong ekuiti dan diplomasi vaksin melalui platform pelbagai hala dan dua hala.
Menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, YB Datuk Haji Ahmad Hashim menerusi hantaran di laman rasmi Facebook miliknya berkata Malaysia kini sedang memulakan R&D dan pengeluaran vaksin tempatan.
Hal ini selari dengan pelancaran Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Kebangsaan, Institusi Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 1 November 2021 untuk mengemudi negara menjadi hab pengeluaran vaksin.
Mengulas lanjut, pada masa kini terdapat tiga (3) projek yang sedia untuk dilaksanakan iaitu;
- Pengeluaran dua (2) jenis vaksin COVID-19 menggunakan virus tidak aktif dan mRNA yang dibangunkan oleh Institusi Penyelidikan Perubatan.
- Pembangunan Vaksin Mukosa/Mulut/Subunit Melawan Taun, Tuberkulosis dan COVID-19 yang dibangunkan dengan Kerjasama Universiti Sains Malaysia dan Institusi Klinikal Malaysia. dan;
- Penilaian Praklinikal Vaksin Kanser Terapeutik untuk Rawatan Kanser Kepala dan Leher oleh Penyelidikan Klinikal Malaysia.
“Kami mengalu-alukan Kerjasama dalam aktiviti R&D dalam bidang farmaseutikal, nutraseutikal, agrobioteknologi, makanan dan bioteknologi industry berhubung dengan pengeluaran vaksin, produk herba dan nutraseutikal untuk penyakit berjangkit, penyakit tropika dan penyakit berisiko tinggi,” katanya.