KOTA KINABALU – Sabah mencatatkan angka kes positif COVID-19 baharu membabitkan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun di paras yang membimbangkan , iaitu hampir 20 peratus atau 50 daripada 253 kes .
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah , Datuk Masidi Manjun meluahkan kebimbangannya dengan hal tersebut , terutama ia melibatkan nyawa kanak-kanak .
“Diharapkan semua ibu bapa juga guru mengambil langkah serta inisiatif supaya dapat mengurangkan risiko jangkitan ke atas mereka yang masih belum layak menerima vaksin ,” katanya dalam satu kenyataan media , malam tadi .
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) , bilangan pesakit COVID-19 yang telah sembuh di Sabah direkodkan sebanyak 288 orang setakat ini , menjadikan jumlah kumulatif kes pulih ialah seramai 235,692 orang .
“Seramai 748 pesakit menerima rawatan iaitu 419 orang di hospital , 327 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan dua di Pusat Tahanan Sementara (PTS) ,” jelasnya .
Tambahnya lagi , kes kematian di negeri tersebut turut meningkat , iaitu empat kes kematian dengan masing-masing satu kes di Tawau , Pitas , Tambunan dan Kota Belud .