KUALA LUMPUR: Pusat Autisme Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima sumbangan sebanyak RM100,000 daripada Yayasan Bank Rakyat dalam sebuah program pendidikan yang diadakan pada hari ini.
Program pendidikan tersebut merupakan sebuah kerjasama antara Yayasan Bank Rakyat dan Pusat Autisme PDRM-Pengaman-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan telah diadakan di Pusat Autisme PDRM, PULAPOL Kuala Lumpur.
Sumbangan yang disampaikan oleh YBhg. Datuk Wira Hj. Megat Zulkarnain Bin Tan Sri Omardin, Pengerusi Yayasan Bank Rakyat bertujuan untuk membantu program pendidikan dan kemahiran awal murid autisme.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Bin Haji Abdullah Sani, sumbangan yang disalurkan amat bermakna dalam membantu kelancaran proses pembelajaran dan perkembangan murid di pusat berkenaan.
Beliau mewakili seluruh warga PDRM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yayasan Bank Rakyat atas sumbangan yang telah diberikan.
“Bantuan tersebut akan memberi manfaat serta harapan kepada 23 orang anak-anak istimewa yang berdaftar di Pusat Autisme PDRM, Kuala Lumpur sejak ia mula beroperasi pada 3 Ogos 2020,” tambahnya dalam kenyataan media hari ini.
PDRM turut mengalu-alukan bantuan serta sumbangan daripada mana-mana pihak untuk Pusat Autisme PDRM agar fasiliti tersebut dapat menyediakan kemudahan pembelajaran yang lebih kondusif.