KUALA LUMPUR: Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) telah memutuskan untuk meminda tarikh Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 melalui mesyuarat Jawatankuasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dan Tugas-tugas Khas.
Tarikh PBAKL dipinda daripada 7 hingga 21 Februari 2022 kepada 3 hingga 12 Jun 2022 dengan mempertimbangkan cadangan oleh pihak pengurusan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh MBKM hari ini, anjakan tarikh PBAKL tersebut adalah disebabkan lokasi PBAKL iaitu WTCKL akan digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega bagi dos penggalak.
WTCKL akan berfungsi sebagai PPV Mega bermula 15 Januari 2022 hingga 15 Mac 2022.
“Anjakan tarikh ini adalah disebabkan oleh penggunaan lokasi PBAKL iaitu WTCKL oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai Pusat Pemberian Vaksin Mega (Dos Penggalak) bermula pada 15 Januari 2022 hingga 15 Mac 2022,” kata Mohd Khair Ngadiron, Urusetia Tetap MBKM dalam kenyataan media hari ini.