PUCHONG: Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, penggunaan bas elektrik penuh akan dimulakan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan bandar-bandar besar sebelum diperluaskan ke seluruh negara sebagai menyokong usaha negara mencapai status neutral karbon seawal 2050.
Perolehan bas elektrik penuh SKSBus yang mampu melengkapkan perjalanan hingga 250km dengan sekali pengecasan itu bakal bermula pada tahun ini hingga tahun 2023, susulan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah membuat tempahan 60 buas bas elektrik penuh daripada pengeluar bas Kumpulan SKSBus.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Ismail Sabri turut berharap agar syarikat bas lain dapat mencontohi usaha DBKL yang memberikan perkhidmatan bas elektrik secara percuma GoKL bagi menjayakan misi kerajaan Malaysia kearah neutral karbon seawal 2050.
“Untuk mencapai sasaran negara neutral karbon seawal 2050, semua pihak perlu terlibat,” katanya selepas melawat kilang integrasi bas elektrik penuh Kumpulan SKSBus di Pulau Meranti di sini.
Kumpulan SKSBus melalui unitnya SKS Coachbuilders Sdn. Bhd. Mempunyai pengalaman lebih 50 tahun dalam industri pembinaan bas. Ia adalah antara pengilang bas di Malaysia dengan pengesahan sebagai Barangan Buatan Malaysia dan dilengkapi dengan bantuan kilang robotik.
Selain itu, Kumpulan SKSBus juga telah bekerjasama dalam bidang teknikal dengan pengilang lokomotif elektrik dan ‘rolling stock’ terbesar di dunia untuk membina bas elektrik penuh iaitu Kumpulan CRRC China sejak tahun 2019.