SHAH ALAM: Susulan satu rakaman video yang tular berkenaan seorang remaja dimandikan seperti jenazah kerena dalam percubaan untuk mencuri duit tabung sebuah masjid, umat Islam di Selangor diminta supaya bertenang dan tidak mengambil pendekatan agresif dalam menangani apa-apa isu dan kes yang melibatkan institusi Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Indsutri Halal Negeri Selangor, YB Tuan Mohd Zawawi Ahmad Mughni dalam satu kenyataan berkata sebetulnya kes isi perlu dibiarkan oleh pihak berkuasa melaksanakan tugas mengikut lunas-lunas undang-undang sementara masyarakat pula perlu setia membantu pihak berkuasa untuk menyempurnakan tugas mereka dan bukannya mengambil alih tugas pihak berkuasa.
“Saya berharap penyebaran video tersebut segera dihentikan di media-media sosial kerana ia tidak membawa sebarang kebaikan kepada kedua-dua pihak.”
“Ia mengundang kutukan daripada masyarakat dengan pelbagai komen negatif. Selain menjatuhkan maruah remaja terlibat, ia juta turut memberikan persepsi buruk tentang sikap pengurusan institusi masjid,” tambahnya lagi dalam satu kenyataan.
Sementara itu, tindakan sewajarnya telah diambil oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selaku agensi kerajaan yang bertanggungjawab menguruskan institusi masjid di Selangor.
“Saya difahamkan Imam yang terlibat telah mengambil tindakan dengan meletakkan jawatan dan JAIS sedang meneliti perkara ini untuk tindakan lanjut,” kata Zawawi Ahmad Mughni.
Dalam menjalankan aktiviti dakwan Islam dan pengurusan institusi Islam di Malaysia amnya, Zawawi Ahmad Mughni meminta agar jiwa dai’e dan penyayang diterapkan kepada mad’u atau sasaran dakwah.
“Dengan jiwa dai’e inilah masyarakat semakin mendekati Islam dan institusi masjid yang tertarik dengan kelembutan dan kasih sayang yang ditonjolkan,” katanya.