KUCHING – Kes positif COVID-19 varian Omicron dikesan lagi di sarawak iaitu Kuching , Samarahan , Sibu dan Kapit , baru-baru ini .
Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) , Profesor Dr David Perera , berkata sebahagian besar jangkitan itu membabitkan penularan tempatan .
Peningkatan kes ini mencetuskan kebimbangannya kerana ia lebih cepat menular , terutama di kalangan masyarakat .
“Justeru semua pihak harus lebih berhati-hati terutama ketika menyambut perayaan Tahun Baharu Cina akan datang . Prosedur operasi standard (SOP) kesihatan awam perlu dipatuhi dengan ketat dan perhimpunan komuniti perlu dielakkan bagi mencegah penyebaran dalam kalangan masyarakat ,” katanya .
Dalam masa yang sama , beliau turut menjelaskan bahawa Delta kekal sebagai varian dominan pada Disember , dengan enam kes lagi dikesan bulan ini , menjadikan jumlah kumulatif bagi varian itu di Sarawak sebanyak 212 kes positif , setakat ini .
“Pada penghujung Disember , kita mula mengesan lapan kes varian Omicron dengan tujuh adalah kes import dan satu kes tanpa sejarah perjalanan .
“Sehingga kini sebanyak 36 kes Omicron dikesan di Sarawak ,” tambahnya lagi .
Oleh itu , Dr David menasihatkan orang ramai yang belum mendapat suntikan dos penggalak COVID-19 agar mendapatkannya dengan segera .
“Kajian menunjukkan dos penggalak perlu untuk meneutralkan penurunan paras antibodi bagi melindungi daripada jangkitan Omicron , ” jelasnya .