KOTA BHARU: Seorang lelaki ditemui mati dalam lokap Balai Polis Pengkalan Chepa, Kota Bharu semalam pada jam 4:35 petang.
Lelaki berbangsa Melayu tersebut merupakan suspek yang ditangkap di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Suspek yang berusia 37 tahun direman selama 4 hari bermula 16 Januari hingga 19 Januari 2022 di Mahkamah Kota Bharu.
Hasil ujian awal air kencing sebelum ini mendapati suspek positif dadah jenis metamphetamine.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali, pihak polis menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika rutin pemeriksaan berkala dijalankan.
Suspek bagaimanapun tidak menyedarkan diri ketika dikejutkan menyebabkan pihak polis menghubungi pegawai kesihatan dan disahkan meninggal dunia pada jam 5 petang.
Mayat suspek dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk bedah siasatan setelah pemeriksaan dijalankan oleh pasukan dari Unit Forensik.