KUALA LUMPUR: YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif (Perancang Seni Budaya) oleh Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Anugerah ijazah tersebut diserahkan kepada beliau sebagai tanda penghargaan dan penghormatan tinggi di atas jasa beliau dalam perkembangan dan kemajuan seni budaya tanah air terutamanya ketika beliau bertugas di Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta sebagai penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia.
Sebagai sebuah institusi yang menerajui bidang seni budaya, penganugerahan Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif merupakan salah satu inisiatif ASWARA untuk menghargai insan-insan yang menyumbang kepada pembangunan dan kelestarian kesenian, kebudayaan dan warisan dalam pelbagai konteks.
Penyerahan anugerah ijazah tersebut dilaksanakan dalam Majlis Sepetang Bersama YB. Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim di Dewan Orkestra, ASWARA dan hanya dihadiri oleh 50 orang tetamu jemputan.
Rektor ASWARA, YBrs. Prof. Ts. Dr. Ruslan Abdul Rahim menyampaikan anugerah ijazah tersebut kepada YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim dan disaksikan oleh Cik Saraya Arbi, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Ahli Lembaga Pengarah, Pengurusan Tertinggi serta Dekan-dekan Fakulti dan Pusat ASWARA.
ASWARA mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim atas penganugerahan ijazah tersebut dan berharap agar seni budaya tanah air akan terus maju dan dipandang tinggi di mata dunia.