JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor akan tetap mengekalkan jarak setengah meter antara jemaah ketika solat jumaat dan fardu di seluruh masjid serta surau di negeri berkenaan , meskipun terdapat kawasan yang masih terjejas dengan COVID-19 , ketika ini .
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor , Tosrin Jarvanthi berkata , kes penularan COVID-19 yang dikesan melibatkan jemaah masjid dan penduduk taman di Taman Sri Pulai Perdana , ahad lalu , tidak memberikan sebarang kesan dalam perubahan ketetapan jarak setengah meter berkenaan .
“Walaupun berlaku kes penularan COVID-19 di Masjid Taman Sri Pulai Perdana , ia tidak akan mengubah ketetapan itu .
“Ia berikutan masjid dan surau di kawasan berkenaan sudah diarah ditutup sementara bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan ,” katanya .
Beliau memberi penjelasannya dalam satu sidang media selepas melancarkan misi bantuan pasca banjir Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) , Pusat Islam Iskandar di sini , hari ini .
Dalam pada itu , Tosrin turut menyatakan pihaknya sedang membuat siasatan dan menunggu maklumat lanjut daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai 47 kes positif COVID-19 yang dikesan dalam kalangan jemaah masjid dan penduduk di Taman Sri Pulai Perdana .
“Saya difahamkan kes di Taman Sri Pulai Perdana membabitkan jemaah umrah yang baharu pulang . Namun saya akan mendapatkan butiran lanjut daripada KKM ,” jelasnya .
Kelmarin , pihak media telah melaporkan peningkatan jumlah kes COVID-19 di negeri itu , sebanyak 47 kes positif membabitkan jemaah masjid dan penduduk di sekitar Taman Sri Pulai Perdana , dengan 164 kontak masih menunggu keputusan saringan yang dilakukan pada Ahad lalu .
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor , R Vidyananthan menjelaskan bahawa , dengan laporan ini , ia sekali gus mencetuskan satu kluster baharu di Johor , iaitu Kluster Pulai Perdana tiga .
Pada 6 Januari lalu , Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru (PKDJB) telah menjalankan saringan bersasar , berikutan terdapat beberapa jemaah masjid disahkan positif selepas melakukan saringan kendiri , dan daripada hasil saringan ini , pihak mereka telah mengesan kluster baharu tersebut .