PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) akan memastikan tiada sebarang aktiviti pengeksportan komoditi ayam berlaku.
Keputusan tersebut dilaksanakan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 23 Mei 2022 berkenaan tindakan menghentikan eksport ayam berkuatkuasa 1 Jun 2022.
MAFI melalui MAQIS akan memastikan kelulusan permit yang meliputi pengeksportan ayam hidup, karkas ayam bulat, keratan daging ayam dan produk makanan berasaskan ayam tidak lagi dikeluarkan.
Semua kelulusan permit untuk membawa keluar komoditi tersebut dibatalkan dan disekat mulai 1 Jun 2022.
Pegawai penguatkuasa MAQIS pula akan menjalankan kawalan secara fizikal di semua pintu keluar dan sebarang aktivit mengeksport komoditi berkenaan adalah tidak dibenarkan.
Menurut MAFI dalam sebuah kenyataan media, jika terdapat sebarang pelanggara, tindakan di bawah subseksyen 11(2) dan 11(3), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan 2011 (Akta 728) boleh diambil.
Jika sabit kesalahan, denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak melebihi 6 tahun boleh dikenakan atau kedua-duanya sekali.
Manakala, pesalah akan dikenakan denda sebanyak RM150,000 atau penjara tidak melebihi 7 tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali kedua.