KUALA LUMPUR: Pelawak dan pelakon, Amran Tompel meninggal dunia pada usia 72 tahun ketika Allahyarham menjalani tempoh kuarantin COVID-19 di kediamannya.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 4.37 petang Sabtu (26 Mac) di kediaman beliau di Senawang, Negeri Sembilan.
Berita duka tentang kehilangan permata seni negara itu dikongsikan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menerusi satu kenyataan.
Seniman menerusi kenyataan menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang berbakat besar dan seorang pelawak serta pelakon yang tiada tandingannya.
Dalam kenyataan sama, Seniman turut menitipkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian pelakon berkenaan.
“Seluruh Kepimpinan Tertinggi dan Barisan Exco Seniman mengucapkan Takziah buat ahli keluarga dan semoga tabah hadapi ujian Ini,” katanya.
Sementara itu, bekas isteri Allahyarham, Anas Salmee Syed Mohammad, 53 tahun, berkata Amran Tompel sebelum ini telah terlantar akibat diserang beberapa penyakit seperti angin ahmar, kencing manis dan darah tinggi.
Allahyarham yang lahir pada 27 Oktober 1950 di Singapura giat mewarnai industri lakonan tanah air sekitar dan pernah membintangi beberapa buah drama dan filem.
Pemergian Allahyarham meninggalkan empat orang anak iaitu dua orang anak lelaki dan dua orang perempuan berusia 22 hingga 29 tahun.