HULU KELANG: Tular video panas yang dimuat naik di laman sosial oleh seorang pelakon baru-baru ini, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mula tampil menyuarakan soal isu berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Profesor Dr. Md Nasir Ibrahim berkata video yang memaparkan adegan panas sebegitu adalah tidak wajar untuk ditayangkan kerana jelas melanggar budaya kesopanan dan kesusilaan yang diamalkan rakyat Malaysia.
“Sebarang penggambaran sebegini tidak seharusnya berlaku, sebagai badan peneraju industri perfileman Negara, FINAS menyeru agar para penggiat industri kreatif lebih berhati-hati dalam menghasilkan karya kreatif”, katanya.
Sementara itu, Finas ingin menekankan bahawa penguatkuasaan tapisan kandungan filem dan televisyen di negara adalah bukan di bawah bidang kuasanya.
“Namun, selaku badan yang dipertanggungjawabkan dalam pengeluaran lesen penerbitan filem tempatan, Finas akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan Peraturan-Peraturan Perlesenan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (1983), Peraturan 6(2)”, katanya menerusi kenyataan.
Oleh itu, Perbadanan boleh membatalkan sesuatu lesen jika pemegang lesen itu telah disabitkan atas suatu kesalahan berkaitan kecurangan, fraud atau keburukan akhlak.
Terdahulu, seorang pelakon sensasi iaitu Zul Ariffin menerima kecaman hebat setelah memuat naik video adegan panas yang tular di laman sosial.