KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia secara amnya semakin teruja untuk memeriahkan Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang bakal berlangsung bermula Khamis (9 Disember).
Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di ibu negara pada hari pertama penganjurannya jam 3 petang.
Program tersebut akan berlangsung selama empat (4) hari bermula 9 Disember hingga 12 Disember bermula jam 9 pagi hingga 10 malam dengan pelbagai aktiviti menarik turut disediakan.
Antara program yang boleh dinikmati sempena penganjuran program tersebut berlangsung adalah seperti karnival kerjaya, persembahan kebudayaan, malam aspirasi seni, jualan usahawan, sukan rakyat, galeri pencapaian kementerian serta program bantuan.
Sementara itu, bagi memastikan tiada penularan wabak COVID-19 berlaku, Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat perlu dipatuhi petugas dan pengunjung dengan melakukan saringan kesihatan di pintu masuk, pemakaian pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal.
Apa yang paling menarik, program AKM bakal menjadi simbolik kepada kemeriahan 100 Hari Aspirasi Keluarga yang pastinya menjadi satu penanda aras yang cemerlang bagi program-program seterusnya pada masa akan datang.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan program yang menyasarkan jumlah pengunjung fizikal seramai 20,000 orang dan 100,000 orang jumlah tontonan maya untuk sepanjang program.
Untuk Maklumat lanjut, orang ramai boleh layari laman web www.keluargamalaysia.gov.my