
Kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan kini menjadi nadi transformasi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk menjadikannya lebih efisien dan berdaya saing dalam menguruskan 317 rancangan tanah dan lebih 3 juta warga peneroka.
Kata Pengarah Besar Felda, Datuk Suzana Idayu Wati Osman, pendigitalan bukan sahaja menjimatkan kos tetapi juga meningkatkan produktiviti peneroka secara signifikan.
“Dengan AI dan dron, kita boleh mengenal pasti masalah sebelum menjadi besar. Inilah kekuatan digitalisasi — cepat, tepat dan menjimatkan,” katanya selepas menyampaikan ceramahnya berjudul “Merevolusikan Amalan Pengurusan Pekebun Kecil Bagi Melonjakkan Produktiviti: Pendekatan Transformasi Felda”.
Suzana Idayu Wati ditemu bual media sempena Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) 2025 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Melalui inisiatif Sistem Pengurusan Perladangan Pintar (SPMS) pula katanya, FELDA telah beralih daripada kaedah manual kepada pendekatan berasaskan data, analitik masa nyata dan teknologi dron.
“SPMS berfungsi sebagai platform komprehensif yang memantau perladangan secara terperinci, termasuk keadaan pokok, pemetaan ladang, pembajaan, penuaian dan isu penyakit.
“Pemetaan umpamanya, membolehkan pasukan teknikal melihat imej ladang secara jelas dan tepat bagi tujuan perancangan dan tindakan segera.
“Selain itu kaedah baharu ini membantu menentukan kadar baja yang optimum, sekali gus mengekang pembaziran dan memastikan hasil tanaman berada pada tahap terbaik.
“Setiap aktiviti ladang, daripada pemangkasan hingga kawalan perosak, direkod dan dipantau dengan lebih sistematik, dibuat penanda aras prestasi antara ladang agar kelemahan dapat diperbaiki segera,” jelasnya.
SPMS kini digunakan di ladang milik peneroka seluas 456,000 hektar dan ladang milik Felda yang dikendalikan Felda Global Ventures (FGV) seluas 350,000 hektar.
Bagi memudahkan pemahaman komuniti peneroka terhadap pelan strategik tersebut, Felda ujarnya, memperkenalkan akronim FELDA yang merangkumi enam teras.
F – Financial Sustainability (Kemampanan Kewangan) dengan fokus meningkatkan produktiviti dan memastikan kemampanan ekonomi jangka panjang peneroka.
E – Efficient Cost (Kos Yang Berkesan) yang menekankan pengurusan kos, meminimakan pembaziran dan memastikan perbelanjaan ladang dilakukan secara optimum.
L – Legacy (Warisan) bagi menyelesaikan isu-isu lama termasuk infrastruktur, tanah terbiar dan masalah sistemik yang diwarisi sejak puluhan tahun.
D – Digitalization (Pendigitalan) unsur paling kritikal yang merangkumi teknologi, modal insan dan tadbir urus dalam era perladangan moden.
A – Advancing Cooperative (Memajukan Kerjasama) yang menumpukan pemerkasaan koperasi-koperasi besar seperti Koperasi Permodalan Felda (KPF), Koperasi Generasi Baru Felda (KGFB) dan Koperasi Kakitangan Felda (Felcop) demi meningkatkan pulangan kepada ahli.
Katanya, Felda turut melaksanakan E-Nota Hantaran dan platform RICE (Penjanaan Semula Inisiatif bagi Pemerkasaan Tuntas) yang kini mampu diakses sepenuhnya oleh peneroka.




