
Saya mengikuti dengan penuh rasa sedih dan kebimbangan insiden seorang pelajar yang dilaporkan ditikam di sebuah sekolah di Selangor. Lebih menyayat hati, negara sebelum ini turut dikejutkan dengan beberapa insiden keganasan di sekolah yang telah mengorbankan nyawa pelajar.
Peristiwa-peristiwa ini bukan sahaja meninggalkan trauma kepada keluarga mangsa, malah menimbulkan keresahan dalam kalangan ibu bapa, warga pendidik dan seluruh masyarakat. Sekolah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak menimba ilmu kini dilihat semakin terdedah kepada ancaman keganasan.
Sebagai Pengerusi Biro Pendidikan Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan, saya merakamkan rasa simpati yang mendalam kepada mangsa dan ahli keluarga yang terlibat. Saya mendoakan agar mangsa diberikan kesembuhan sepenuhnya serta seluruh keluarga diberikan ketabahan menghadapi dugaan ini.
Apa yang lebih membimbangkan ialah kehidupan anak-anak pada hari ini yang semakin terdedah kepada pelbagai pengaruh negatif melalui media sosial, permainan video, drama dan kandungan digital yang memaparkan unsur-unsur keganasan secara berlebihan. Walaupun faktor keganasan tidak boleh disandarkan kepada satu punca sahaja, kita tidak boleh menafikan bahawa pendedahan berterusan kepada kandungan sedemikian, ditambah pula dengan tekanan emosi, buli, konflik keluarga dan pengaruh rakan sebaya, boleh memberi kesan terhadap pembentukan tingkah laku segelintir remaja.
Kita tidak boleh terus menunggu sehingga tragedi berlaku sebelum bertindak. Setiap insiden yang berlaku merupakan satu amaran bahawa sistem perlindungan dan intervensi awal di sekolah perlu diperkukuhkan.
Sehubungan itu, saya mendesak Kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia, supaya memberi fokus yang lebih serius terhadap aspek keselamatan murid di sekolah. Keselamatan murid bukan sekadar isu disiplin sekolah, tetapi merupakan isu keselamatan negara yang melibatkan masa depan generasi pewaris Malaysia.
Saya mencadangkan agar Kerajaan melaksanakan beberapa tindakan segera, antaranya:
- Menggubal Pelan Induk Keselamatan Sekolah Nasional yang merangkumi aspek keselamatan fizikal, pengurusan risiko, prosedur kecemasan dan mekanisme pemantauan yang seragam di semua sekolah.
- Menambah jumlah guru bimbingan dan kaunseling, kaunselor profesional serta pakar psikologi pendidikan bagi memastikan setiap murid yang menghadapi tekanan emosi atau menunjukkan perubahan tingkah laku mendapat perhatian lebih awal.
- Melaksanakan saringan psikososial secara berkala bagi mengenal pasti murid yang memerlukan bantuan dan intervensi awal sebelum berlaku kejadian yang tidak diingini.
- Memperkukuhkan kawalan keselamatan di pintu masuk sekolah mengikut penilaian risiko serta mempertingkatkan rondaan dan kerjasama dengan pihak berkuasa.
- Memperluaskan pendidikan sahsiah, pengurusan emosi, penyelesaian konflik dan literasi digital supaya murid lebih bijak mengawal emosi serta menolak budaya keganasan.
- Meningkatkan kerjasama strategik antara sekolah, ibu bapa, komuniti, pihak polis, pakar psikologi dan agensi berkaitan bagi membentuk sistem sokongan yang lebih menyeluruh kepada murid.
- Memperhebatkan kempen kesedaran kepada ibu bapa mengenai kepentingan memantau penggunaan media sosial, permainan video dan kandungan digital yang diakses oleh anak-anak.
Saya turut menggesa agar Kerajaan mengadakan Sidang Meja Bulat Keselamatan Sekolah Peringkat Kebangsaan yang menghimpunkan Kementerian Pendidikan Malaysia, pihak keselamatan, pakar psikologi, ahli akademik, persatuan ibu bapa, pertubuhan masyarakat sivil dan wakil pelajar bagi merangka satu Pelan Tindakan Keselamatan Sekolah Nasional yang komprehensif dan berkesan.
Sudah tiba masanya pendekatan yang lebih menyeluruh dilaksanakan. Kita tidak boleh lagi bersikap reaktif dengan hanya bertindak selepas sesuatu tragedi berlaku. Negara memerlukan dasar yang lebih proaktif dalam menangani isu keganasan, buli, kesihatan mental dan keselamatan murid.
Saya juga menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden yang sedang disiasat. Berikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus dan profesional demi menegakkan keadilan kepada semua pihak.
Akhir sekali, saya ingin mengingatkan bahawa setiap anak yang dihantar ke sekolah adalah amanah kepada negara. Ibu bapa menghantar anak-anak mereka dengan harapan mereka pulang membawa ilmu, bukannya tragedi. Oleh itu, keselamatan murid mestilah menjadi keutamaan mutlak dalam setiap dasar pendidikan negara.
Marilah kita bersama-sama memastikan sekolah terus menjadi tempat yang selamat, harmoni dan kondusif untuk melahirkan generasi Malaysia MADANI yang berilmu, berakhlak mulia serta menghormati nilai kemanusiaan.
“Anak-anak adalah masa depan negara. Melindungi mereka bukan satu pilihan, tetapi satu tanggungjawab yang wajib dipikul oleh semua.”
ZALEHA BINTI DULLAH
Pengerusi Biro Pendidikan
Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan



