KUALA LUMPUR: Maxis Berhad pada Khamis (9 Disember) telah melancarkan satu aplikasi mudah alih iaitu ekelas bagi membolehkan pelajar menyesuaikan diri dengan norma baharu selain menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran di luar bilik darjah.
Aplikasi tersebut kini boleh dimuat naik secara percuma di Google Play Store dan Apple App Store.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut memberitahu, inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen syarikat telekomunikasi itu untuk membawa teknologi terbaik dalam terus menerajui pendigitalan dalam pembelajaran.
“Kita juga merancang untuk mencapai lebih ramai pelajar di seluruh negara. Jadi hari ini menandakan hari bersejarah kepada Maxis untuk mengorak satu langkah ke hadapan dengan melancarkan aplikasi baharu, eKelas,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa di Menara Maxis di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, eKelas mensasarkan pelajar dari Tahun 4-Tingkatan 5 yang membawa penggayaan pembelajaran yang menyeronokkan serta menyediakan akses kandungan pendidikan yang berkualiti.
Pelajar-pelajar boleh mencapai lebih daripada 3,000 kandungan pembelajaran ringkas yang dimuat dalam aplikasi mudah alih tersebut bagi mata pelajaran teras seperti Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
Program tersebut juga tersedia untuk semua pelajar di seluruh negara dan telah diperkenalkan kepada 625 buah sekolah.
Pendaftaran Maxis eKelas dibuka untuk pelajar, ibu bapa dan guru secara percuma melalui laman web Maxis.
SUMBER FOTO: TWITTER RASMI ANNUAR MUSA