KUALA LUMPUR, 14 Julai 2022 – Pameran Peruncitan dan Francais Antarabangsa Malaysia
(MIRF) 2022, yang merupakan antara pameran yang terbesar seumpanya, membuka pintu
kepada pengunjung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Dirasmikan oleh YBhg. Datuk Haji Zamri Bin Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan
Keusahawanan dan Koperasi), Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi
(KUSKOP), bagi pihak Menteri YB Tan Sri Noh Bin Haji Omar, ekspo 3 hari anjuran Persatuan
Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) ini akan memberi fokus kepada tema “Mulakan Semula :
Peruncitan & Francais”, menampilkan tiga dewan bersaiz lebih 22,000-meter persegi ruang lantai
dengan penyertaan lebih 400 gerai pameran yang meliputi segenap lapisan industri runcit dan
francais. Beberapa jenama runcit dan francais terkemuka yang menyertai ekspo tahun ini adalah
termasuk Marrybrown, Bask Bear Coffee, Ah Cheng Laksa, Vanilla Crepe, Laundrybar dan
banyak lagi.
MRCA optimistik bahawa ia boleh mengulangi kejayaan edisi lalu pada tahun 2019 yang telah
berjaya menarik 350 gerai dan telah menjalankan transaksi urusniaga bernilai lebih RM80 juta
dalam hasil perniagaan, di mana penganjur mensasarkan peningkatan angka tersebut kepada
sehingga 10 hingga 12 peratus tahun ini.
Acara ini juga menampilkan syarikat asing dari lebih 10 negara, termasuk Korea Selatan,
Singapura, Taiwan, India, Pakistan, Jepun, Cyprus dan Filipina, serta menyediakan satu
bahagian khusus bagi mempromosikan produk Halal dalam usaha menyediakan platform untuk
pemadanan perniagaan yang berkualiti.
Ini menandakan MIRF sebagai platform pertumbuhan untuk perniagaan runcit dan francais bukan
sahaja bertumpu kepada perkembangan dari segi hasil tetapi juga dalam membentuk dan
membina semula model perniagaan serta strategi inovasi baru selepas tempoh pandemik yang
lalu.
YBhg. Datuk Haji Zamri Bin Salleh dalam ucapannya bagi pihak Menteri menyebut, “Selain
menetapkan sasaran untuk industri francais menyumbang 9.4% kepada keluaran dalam negara
kasar (KDNK) menjelang tahun 2022, kerajaan juga merancang untuk mewujudkan 18,000
peluang pekerjaan baru menjelang tahun 2025.”
“Ini selaras dengan komitmen teguh dalam membangunkan lebih ramai usahawan khususnya di
dalam bidang francais,” tambahnya.
Beliau turut serta dalam menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman
(MoU) antara MRCA dan Persatuan Francais BUSAN selepas pelancaran MIRF bagi memupuk
kerjasama antara dua negara dalam mempromosikan industri francais.
Sharan Valiram, Presiden MRCA berkata, “Melalui MIRF, kami komited untuk menjadikan
Malaysia sebagai batu loncatan bagi peruncit dan perniagaan francais untuk berkembang di
mana pelbagai jenama, organisasi dan pengamal industri dalam satu platform bagi memudahkan
proses membina rangkaian selain dapat berurus niaga secara langsung.”
Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran MIRF, Christine Tan turut berkongsi, “Kami percaya
bahawa usaha ini dapat mencipta dan membantu menguruskan peluang perniagaan bukan
sahaja untuk sektor runcit tetapi juga menyediakan platform untuk komuniti perniagaan untuk
mendapatkan peluang yang lebih meluas. Acara tahun ini juga merupakan peristiwa bersejarah
untuk industri di mana aktiviti dapat terus dijalankan selepas apa yang berlaku semasa pandemik
yang lalu.”
MIRF 2022 bersedia untuk terus meningkatkan dorongan bagi menterjemahkan transaksi yang
lebih besar dengan padanan perniagaan yang lebih baik dan penggunaan teknologi sebagai
pilihan hibrid untuk berinteraksi dengan orang ramai, sejajar dengan empat tunjang utama MRCA
iaitu Makanan dan Minuman (F&B), Runcit, Francais, dan e-Dagang.
“Kami maklum bahawa terdapat petunjuk positif berdasarkan angka jualan akhir tahun yang
dijangka mencecah RM13 bilion, berdasarkan kekuatan sedia ada industri ini walaupun dilanda
pandemik. Sekali lagi, statistik telah membuktikan sumbangan penting yang dibawa oleh industri
runcit kepada ekonomi Malaysia. Ia adalah salah satu daripada 3 penyumbang utama kepada
KDNK Negara,” tambah Sharan Valliram.
Pameran tersebut disokong oleh Penaung Korporat MRCA iaitu Maxis, Fusionex dan RHB, selain
disokong oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Biro
Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Persatuan Francais dan Pelesenan (FLA)
Singapura, Agensi Penggalakan Ekonomi Busan (BEPA), Majlis Pembangunan Perdagangan
Luar Taiwan (TAITRA) serta lain-lain. MIRF juga berbangga dengan PERNAS sebagai Penaja
Emas, China Mobile, Infra Bunga, Shopline, UT Robotics dan ZCITY sebagai Penaja Perak serta
Malaysia Airlines dan Time.com sebagai Penaja Gangsa.
– TAMAT –
Mengenai Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia (MRCA)
Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA), yang diasaskan pada 1992, merupakan sebuah
persatuan untuk peruncit kedai rantaian dan francaisor yang berazam untuk meningkatkan
persekitaran runcit dan francais di Malaysia dan luar negara. Hari ini, MRCA telah berkembang
menjadi entiti berpengaruh yang terdiri daripada lebih 500 rangkaian kedai runcit dan francaisor
terkemuka, termasuk jenama terkenal seperti Poh Kong, Bonia, OSIM, Francais Nelson, Focus
Point, Rantaian Makanan Rotol, Sunrider International, Maxis Berhad, ADV Fusionex Sdn Bhd,
RHB Bank Berhad, B&G Capital Resources Berhad, Mah Sing Group Bhd, Sunsuria Berhad,
Kumpulan Syarikat Quill, The Store Corporation Berhad, Kumpulan Syarikat Top Glove.
Untuk maklumat lanjut, sila layari https://mrca.org.my atau hubungi Sekretariat MRCA di talian
03-5882 4333 atau e-mel ke mrca.secretariat@gmail.com
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Raja Azraff Raja Azmil
Pengurus