KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub mengumumkan Pakej Transit untuk Pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang bakal dilaksanakan pada bulan Mac tahun depan.
Pakej Transit tersebut yang dilaksanakan oleh oleh anak syarikat Prasarana iaitu Prasarana Intergrated Development Sdn Bhd (PRIDE) membolehkan peniaga-peniaga untuk berniaga di sekitar lapan (8) stesen LRT Laluan Kelana Jaya.
Antara lapan (8) stesen tersebut adalah Subang Alam, Alam Sutera, Putra Height, Taman Perindustrian Puchong, Awan Besar, IOI Puchong Jaya, Plaza Rakyat dan juga SS18.
YAB Datuk Seri Ismail Sabri berkata demikian ketika program pelancaran ‘Pas Keluarga Malaysia’ pada Isnin yang disempurnakan olehnya.
Beliau berkata sejumlah 20 lot perniagaan bersaiz 80 hingga 400 kaki persegi bakal diterima oleh pengusaha-pengusaha IKS.
“Menerusi pakej ini, sejumlah 20 lot perniagaan bersaiz 80 hingga 400 kaki persegi di beberapa laluan akan ditawarkan kepada pengusaha Industri Kecil dan Sederhana secara cabutan lot.”
Beliau turut berkata pemohon yang berjaya akan menikmati struktur sewaan istimewa selamas setahun termasuk pengecualian sewa selama tiga bulan yang perinciannya akan dihebahkan oleh PRIDE dalam masa yang terdekat.
Selain itu, beliau turut menggalakkan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana untuk memanfaatkan peluan ini dengan mengambil bahagian dan memperkasakan ekonomi setempat agar mendatangkan kesejahteraan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, beliau juga turut memuji inisiatif yang dilaksanakan oleh Prasarana sejak COVID-19 dengan melaksanakan beberapa insiatif yang bertujuan membantu usahawan kecil meningkatkan hasil jualan mereka.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Prasarana atas tanggungjawab sosial korporat yang telah diberikan bagi membantu para peniaga menjan semula ekonomi mereka yang terkesan akibat pandemik.”
IKHSAN FOTO: LAMAN RASMI FACEBOOK TENGKU ZAFRUL