25 November 2022 – Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah tiba di
Bangunan Putra Perdana pada jam 9.00 pagi dengan disambut oleh Ketua Setiausaha
Negara dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri. Turut hadir
ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis
Negara dan Peguam Negara.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim diiringi pegawai-pegawai kanan
kerajaan dibawa mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda bermulanya tugas
beliau sebagai Perdana Menteri ke-10.
Sejurus selesai mengimbas kad perakam waktu, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri
Anwar terus bergerak ke ruang pejabat Perdana Menteri untuk menandatangani buku
selamat datang dan selamat bertugas.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar, 75 tahun telah diperkenankan oleh KDYMM
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai Perdana Menteri
Malaysia yang baharu berkuatkuasa 24 November 2022.
Seluruh warga Jabatan Perdana Menteri mengalu-alukan kedatangan Yang Amat
Berhormat Dato’ Seri Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.
JABATAN PERDANA MENTERI
PUTRAJAYA
25 NOVEMBER 2022
________________________________________________________________