KUALA LUMPUR: Seramai 263 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022 dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2022 yang diadakan pada 8 Februari 2022.
Seorang individu dianugerahkan Darjah Kebesaran Pangkat Pertama iaitu Seri Utama Mahkota Wilayah (S.U.M.W.) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Beliau merupakan YAB Datuk Seri Utama Haji Hasni bin Mohammad, Menteri Besar Johor dan darjah kebesaran tersebut dianugerahkan kepada beliau atas sumbangan besar Negeri Johor kepada kemajuan Wilayah Persekutuan serta peranan beliau dalam merancakkan pemulihan ekonomi negara dan memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia.
Seterusnya, seramai 15 individu dianugerahkan Darjah Kebesaran Pangkat Kedua iaitu Seri Mahkota Wilayah (S.M.W) yang membawa gelaran Datuk Seri manakala 59 individu dianugerahkan Darjah Kebesaran Pangkat Ketiga iaitu Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W) yang membawa gelaran Datuk.
Antara individu yang dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah ialah Ketua Audit Negara, YBhg. Datuk Seri Nik Azman bin Nik Abdul Majid.
Bagi Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah, antara inividu yang dianugerahkann dengan darjah kebesaran tersebut ialah penyanyi tersohor tanah air, Datuk Abdul Hail bin Amir dan atlet paralimpik negara, Datuk Abdul Latif bin Romly.
Selain itu, seramai 48 individu menerima Darjah Kebesaran Pangkat Keempat iaitu Johan Mahkota Wilayah (J.M.W.), 53 individu menerima Darjah Kebesaran Pangkat Kelima iaitu Kesatria Mahkota Wilayah (K.M.W.).
Seramai 34 individu menerima Darjah Kebesaran Pangkat Keenam iaitu Ahli Mahkota Wilayah dan 53 individu dianugerahkan Darjah Kebesaran Pangkat Ketujuh iaitu Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (P.P.W.).
Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan ke atas segala jasa yang telah disumbangkan oleh semua penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2022.
SUMBER FOTO: LAMAN FACEBOOK RASMI KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN DAN MEGAT D SHAHRIMAN ZAHARUDIN (PRESIDEN MAJLIS PARALIMPIK MALAYSIA)