LUMUT: Lebih kurang jam 9:45 malam tadi, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menahan seramai 9 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di perairan Johor Selatan.
Kesemua PATI yang terdiri daripada lapan orang lelaki dan seorang wanita yang dipercayai warganegara Indonesia lingkungan 20-an hingga 40-an ditahan atas kesalahan menceroboh negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan.
Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) telah mengesan keberadaan sebuah bot yang bergerak dengan kelajuan tinggi dari Pulau Batam, Indonesia yang disyaki menghala ke perairan Teluk Ramunia, Johor.
KD Ganyang yang menerima maklumat daripada Area Control Centre (ACC) Johor segera mengkoordinasikan aset TLDM FCB 1123 dan bot pemintas RHIB Lepau bagi memintas bot tersebut.
Hasil kecekapan dan tindakan pantas FCB 1123 dan RHIB Lepau, cubaan bot PATI tersebut untuk melarikan diri berjaya disangkal dan kesemua PATI diberkas di lokasi 1.5 batu nautika selatan Teluk Ramunia.
Kesemua PATI kemudiannya dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang dan diserahkan kepada Tim Op Merpati untuk soal siasat dan ujian saringan Covid-19.
Untuk siasatan lanjut, kesemua PATI akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
SUMBER FOTO: LAMAN TWITTER RASMI TENTERA LAUT DIRAJA MALAYSIA (@tldm_rasmi)