SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengumumkan pengumpulan naskhah al-Quran serta buku-buku agama yang musnah akibat banjir di negeri Selangor.
Pihak JAIS telah menetapkan enam lokasi yang dijadikan sebagai pusat pengumpulan bagi naskhah al-Quran dan buku-buku agama yang terjejas.
Antara pusat pengumpulan tersebut ialah Tanah Perkuburan Islam Sungai Serai, Hulu Langat dan Kompleks Islam Daerah Kuala Selangor.
Umat Islam yang berada di lokasi terjejas boleh menghantar naskhah al-Quran dan buku-buku agama yang rosak ke masjid-masjid kariah berdekatan bermula 27 Disember 2021 hingga 30 Disember 2021 sebelum dikumpulkan ke enam pusat pengumpulan yang ditetapkan.
Pihak JAIS juga menasihatkan agar pihak masjid memastikan naskhah yang dihantar ditempatkan di ruang yang bersih, selamat serta bebas daripada laluan manusia dan haiwan manakala tempat penyimpanan yang tidak berbumbung perlu menggunakan plastik atau kanvas bagi menutup naskhah tersebut.
JAIS, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan bekerjasama menguruskan pengangkutan kesemua naskhah tersebut dari masjid-masjid kariah ke pusat-pusat pengumpulan sebelum proses pelupusan dijalankan.