18 Februari 2022: Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) dalam satu kenyataan memaklumkan isu beg berat murid sekolah yang dibangkitkan hampir sebulan lalu, masih belum dijawab oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan, YB Dr Maszlee Malik berkata, “JKPPH mengambil berat isu ini kerana ia boleh mendatangkan mudharat kepada murid-murid dalam jangka masa panjang”.
Mengulas lanjut, JKPPH turut memberi beberapa cadangkan kepada KPM untuk melaksanakan langkah segera dalam mengatasi masalah tersebut. Antaranya adalah bersedia untuk merombak sukatan pelajaran yang lebih mesra pendigitalan pendidikan bagi meminimumkan penggunaan buku teks fizikal.
Selain itu, KPM turut dicadangkan untuk memperbanyakkan buku teks dalam bentuk digital atau e-book untuk semua peringkat, memudahkan urusan mengakses buku teks digital yang akan digunakan oleh murid-murid termasuk di kawasan luar bandar dan memberikan kuasa autonomi kepada sekolah dan PIBG untuk berbincang dan membuat keputusan kaedah pembelajaran yang sesuai mengikut keperluan masing-masing.
“JKPPH beharap cadangan ini boleh dipertimbangkan oleh KPM dan menggesa KPM untuk bertindak segera menjelang pembukaan sekolah sesi 2022/2023”, tegas Maszlee Malik.